Sunday, January 17, 2010

Tiga buruh binaan dibelasah 10 lelaki di hadapan hotel

KUANTAN: Tiga buruh binaan dari Cheras, Kuala Lumpur cedera selepas dibelasah kira-kira 10 lelaki di hadapan sebuah hotel yang diduduki mereka di Jalan Wong Ah Jang di sini.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata kejadian kira-kira 12.30 tengah malam Jumaat lalu bermula apabila ketiga-tiga buruh yang berusia dari 31 hingga 41 tahun itu didatangi dua lelaki yang tidak dikenali bersenjatakan pisau dan kayu di bilik hotel kononnya untuk menyelesaikan masalah dengan salah seorang daripada mangsa.

Beliau berkata, dua lelaki terbabit kemudian meminta wang daripada lelaki berkenaan namun dia enggan memberinya menyebabkan suspek merampas tiga telefon bimbit milik mangsa dan menumbuk serta menendang mereka sebelum melarikan diri.



"Ketiga-tiga mangsa yang merasakan tidak selamat berada di situ kemudian bertindak untuk keluar dari bilik sebelum mendapati kira-kira 10 lelaki sedang menunggu mereka di luar hotel dan terus memukul kesemua mangsa," katanya di sini, hari ini.

Noor Asyikin berkata, mangsa berjaya melepaskan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda milik syarikatnya sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Susulan kejadian itu, katanya, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang beralamat di Bandar Permaisuri, Terengganu, Sabtu lalu dan kini giat memburu kesemua rakannya yang terbabit di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment