KUALA LUMPUR 18 Jan 2010 - Tiga lelaki ditahan setelah didapati menjadikan rumah sewa mereka di Pangsapuri Vista Angkasa, Jalan Kerinchi di sini sebagai pusat membungkus dan mengedar dadah.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 35 dan 38 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada pukul 8.30 malam, kelmarin.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas lebih dua kilogram dadah dipercayai ganja bernilai kira-kira RM4,000 serta beberapa peralatan untuk membungkus.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supritendan Azri Abdul Rahman berkata, suspek yang ditahan masing-masing bekerja sebagai pemandu, pembantu kantin dan penghantar surat.
"Polis yang mendapat maklumat daripada orang awam telah membuat serbuan dan menemui dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 1,940 gram disembunyikan dalam sebuah almari di rumah tersebut.
"Turut ditemui sembilan paket plastik kecil berisi ganja dengan berat 100 gram setiap satu, peralatan menghisap dan papan pemotong untuk membungkus ganja," katanya pada sidang akhbar di IPD Brickfields di sini hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek positif ujian air kencing manakala seorang daripada mereka turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama enam hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam satu lagi operasi, kata Azri, seorang buruh berusia 41 tahun ditahan kerana disyaki mengedar ganja di Jalan Berhala pada pukul 2 petang, semalam.
"Polis yang menjalankan Ops Tapis Perdana telah menahan suspek untuk pemeriksaan setelah melihat dia dalam keadaan mencurigakan.
"Sebelum itu, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Dia turut dilihat membuang beg plastik di atas jalan," katanya.
Beliau berkata, polis yang memeriksa suspek menemui satu paket plastik dadah dipercayai heroin seberat 3.4 gram dalam poket seluarnya.
Katanya, pemeriksaan ke atas beg plastik yang dibuang pula menemui 20 paket heroin seberat 70 gram.
Tambahnya, kesemua heroin yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM2,500 dengan setiap paket dijual pada harga RM90 di pasaran.
"Suspek yang juga penagih dadah ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut," katanya.
Monday, January 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment