Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 21 Jan 2010 - Kegiatan penyeludupan dadah menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit kini di tahap menakutkan.
Mendedahkan demikian, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Mohamed Khalid Yusuf berkata, ini berikutan peningkatan nilai rampasan dadah di lapangan terbang itu begitu mendadak sebanyak RM62 juta tahun lalu berbanding RM17.6 juta pada 2008.
Serentak itu, tegas beliau, kastam terus memperhebatkan penguatkuasaannya memerangi penyeludupan dadah di KLIA.
Ini termasuk menugaskan para pegawainya memantau pesawat-pesawat antarabangsa dan warganegara tertentu yang dikenal pasti terlibat secara langsung dalam kegiatan tersebut.
"Daripada kebanyakan ketamin yang dirampas, pihak kastam mengesan rata-rata individu terlibat memegang pasport yang tertera mereka dari Trichy, sebuah kampung di Chennai, India. Demikian juga warganegara dari Asia Barat.
"Dadah itu antaranya diletakkan dalam tin berisi kunyit yang di bawahnya terdapat satu lapisan tersembunyi.
"Pelbagai modus operandi penyeludupan dadah ini antaranya kita dapati tin kunyit itu masih tertera nama pasar raya dari kawasan yang sama malahan individu terlibat juga memakai jenis kasut serupa berwarna hitam," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Ibrahim Jaapar bersama media di Ibu Pejabat Kastam di sini hari ini.
Mohamed Khalid berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada Pihak Pentadbir Kastam ASEAN termasuk baru-baru ini dari Hong Kong yang menyalurkan maklumat mengenai individu yang terlepas daripada pemeriksaan di sana dengan laluannya menuju KLIA.
"Kastam sentiasa melihat trend modus operandi yang sering berubah ini antaranya dadah diseludup menerusi televisyen hitam putih dan CPU komputer," katanya.
Terdahulu, Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya berkata, kastam memperoleh RM25.9 bilion hasil pungutan tahun lalu.
Kata beliau, 62.1 peratus daripada pungutan itu diperoleh daripada cukai dalam negara meliputi cukai eksais, jualan dan perkhidmatan manakala 30 peratus lagi hasil cukai import dan eksport.
"Tugas kastam begitu meluas, kita tidak semata-mata pungut cukai dan terlibat dalam aspek pencegahan.
"Malah, kita terlibat sebagai penasihat dan perunding para pelabur dalam menyalurkan prosedur kastam yang perlu mereka patuhi," katanya.
Thursday, January 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment