Wednesday, January 20, 2010

Kilang dirompak rugi RM100,000

SHAH ALAM 20 Jan 2010 - Sebuah kilang menghasilkan barangan elektronik di Telok Panglima Garang dekat sini kerugian kira-kira RM100,000 apabila lapan botol bahan kimia dan empat unit komputer riba dilarikan tiga penjenayah awal pagi kelmarin.

Bahan kimia yang mengandungi 'sianida gold' itu lazimnya digunakan untuk menyaring emas dan perak dalam industri penghasilan produk elektronik.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohamad Radzi Ishak berkata, suspek dikatakan memecah masuk kilang itu kira-kira pukul 3 pagi sebelum mengikat dua pengawal keselamatan yang berada dalam pondok pengawal.

"Mereka yang bersenjatakan parang kemudian menggeledah pejabat pentadbiran kilang serta merosakkan CCTV (kamera litar tertutup) bagi mengelak wajah mereka dirakam.

"Mereka juga turut mencederakan seorang pekerja di kepala sebelum melarikan botol-botol bahan kimia dan beberapa barangan lain," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Mohamad Radzi, polis tidak menolak kejadian itu didalangi oleh orang dalam kerana hanya orang tertentu sahaja tahu mengenai nilai dan kegunaan bahan kimia tersebut.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan memburu kesemua suspek dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment