Sunday, January 17, 2010

Geng Joey terbabit 39 kes samun di Gombak tumpas

KUALA LUMPUR 17 Jan 2010 - Kelicikan empat ahli geng 'Joey' yang terlibat dalam kira-kira 39 kes samun di sekitar Gombak berakhir apabila mereka ditahan di Sungai Buloh dekat sini semalam.

Keempat-empat lelaki itu ditahan sepasukan anggota polis di sebuah tapak projek pembinaan kilang di Sungai Buloh dekat sini kira-kira pukul 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek berusia lingkungan 28 dan 29 tahun itu dipercayai menjadikan tapak projek tersebut sebagai tempat menyimpan senjata yang digunakan untuk menyamun.

"Hasil pemeriksaan di tapak projek itu, salah seorang daripada suspek telah menunjukkan sebuah setor yang menyimpan senjata seperti pisau pemotong daging, parang, gunting besar.

"Selain itu kita turut merampas lima buah motosikal pelbagai jenis yang dipercayai dicuri dan disembunyikan di situ," katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, ketika siasatan dijalankan keempat-empat suspek turut mengaku terlibat dengan kira-kira 39 kes samun di sekitar Gombak.

Menurutnya, kumpulan berkenaan aktif menjalankan kegiatan samun kedai bunga, kilang alat ganti kenderaan dan kedai runcit.

"Suspek-suspek turut menjadikan orang awam yang berseorangan di kawasan kilang dan hadapan rumah sebagai mangsa samun, " katanya.

Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment