Sunday, January 17, 2010

Polis tahan lelaki, rampas dadah lebih RM200,000

IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar dadah dan merampas enam bungkus dadah seberat 2.7 kilogram bernilai lebih RM200,000 di Parit Buntar semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata bertindak daripada maklumat orang awam, lelaki berusia 43 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu ditahan ketika sedang memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios di Jalan Simpang Empat, Parit Buntar pada jam 2.15 petang.

"Hasil pemeriksaan polis menemui enam paket plastik lutsinar berisi bahan serbuk keperangan, dipercayai dadah jenis heroin dalam kereta yang dipandu suspek," katanya pada sidang akhbarnya di sini hari ini.



Zakaria berkata, lelaki berkenaan ditahan reman seminggu bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

Siasatan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lalu iaitu dibawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Api Berbahaya.

Katanya, adalah dipercayai dadah berkenaan untuk dipasarkan di daerah Kerian.

Beliau percaya dengan tangkapan ini polis dapat melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah heroin di kawasan Parit Buntar. - Bernama

No comments:

Post a Comment