PEKAN 17 Jan 2010 - "Kalau hendak selamat, duduk diam-diam dalam bilik, kalau kamu keluar bilik ini, kamu mati".
Itulah kata-kata yang masih terngiang-ngiang di telinga seorang gadis selepas seorang penyamun mengacu pisau kepadanya dalam satu kejadian samun di Kampung Kelat Rendang di sini semalam.
Tindakan mangsa ternyata berjaya menyelamatkan nyawanya dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi tersebut.
Ketika kejadian, Farah Elyani Mohamed, 19, tinggal berseorangan dan tidak menyedari kehadiran tiga penyamun yang memasuki rumahnya dengan mengumpil tingkap bilik di bahagian hadapan.
Menurutnya, semasa kejadian, ibu dan bapanya keluar bekerja manakala adik perempuannya pula tinggal di asrama.
"Masa itu, saya sedang berbaring di atas katil sambil mendengar lagu di telefon bimbit. Tiba-tiba seorang lelaki memecah masuk bilik lalu mengacu pisau serta meminta saya duduk diam.
"Dalam keadaan panik saya hanya berdoa agar tidak diapa-apakan walaupun pada saat itu hanya terfikir mati sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, selepas lima minit berkurung, suspek kembali masuk ke dalam biliknya dan meminta barang kemas jika dia memakainya.
"Mereka terus menggeledah laci di dalam bilik sebelum mengambil dompet saya.
"Dua penyamun itu kemudian melarikan diri melalui pintu dapur dan saya terus menghubungi ibu yang sedang bekerja mengunakan telefon bimbit yang disorokkan di bawah selimut," katanya.
Ujarnya, dia bersyukur kerana tidak dicederakan oleh suspek dan kejadian itu menyebabkan dia trauma serta takut untuk tinggal bersendirian di rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, pihak polis kini sedang giat memburu tiga suspek tersebut.
"Hasil siasatan awal, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM10,000 yang melibatkan kehilangan barang kemas," katanya.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Samun Berkumpulan Bersenjata jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Sunday, January 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment