Monday, January 18, 2010

Tiga ditahan proses dadah

NASIONAL
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my








KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki yang menjadikan rumah sewa mereka bagi menjalankan operasi memproses dadah jenis ganja dan heroin untuk pasaran sekitar ibu kota, dalam satu serbuan di Pangsapuri Vista Angkasa, Jalan Kerinchi, di sini, Sabtu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, polis turut merampas lebih dua kilogram dadah dipercayai ganja bernilai kira-kira RM4,000 dan beberapa peralatan yang digunakan untuk membungkus bahan haram terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Azri Abdul Rahman, berkata semua suspek berusia antara 35 tahun dan 38 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata, tiga lelaki itu masing-masing bekerja sebagai pemandu, pembantu kantin dan penghantar surat.

“Hasil serbuan itu, polis menemui dua ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 1.9 kilogram tersembunyi di dalam almari di sebuah bilik rumah terbabit. Polis turut menemui sembilan peket plastik kecil berisi ganja dengan berat 100 gram setiap satu, peralatan menghisap dan papan pemotong yang digunakan untuk memotong ganja sebelum dibungkus.

“Ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif mengambil ganja dan seorang daripada mereka turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah. Mereka semua ditahan reman selama enam hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam operasi berasingan, polis menahan seorang buruh berusia 41 tahun kerana disyaki mengedar dadah di Jalan Berhala, dekat sini, semalam.

Azri berkata, sepasukan polis yang menjalankan Ops Tapis/Ops Utama Perdana cuba menahan suspek selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek cuba melarikan diri sebaik polis cuba menghampirinya dan dilihat membuang sesuatu di atas jalan. Polis berjaya menahan suspek dan merampas satu peket plastik berisi dadah dipercayai heroin seberat 3.4 gram dalam kocek seluarnya,” katanya.

Katanya, polis juga berjaya menemui semula beg plastik yang dibuang suspek, yang mengandungi 20 paket heroin seberat 70 gram.

“Semua heroin yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,500 dengan setiap peket dijual pada harga RM90 di pasaran. Suspek yang juga penagih dadah ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment