Thursday, January 21, 2010

Tiga suspek samun ditahan

Roslan Zainuddin (kanan) bersama timbalannya, DSP Saifi Abdul Hamid menunjukkan barang kes samun dan curi motor pada sidang akhbar di IPD Seri Alam, Johor Bahru, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 21 Jan. - Tiga lelaki yang dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam beberapa kegiatan samun dan pecah rumah di Iskandar Malaysia dan Bandar Seri Alam, berjaya ditahan di sini, Sabtu lalu.

Pelbagai barangan curi yang kesemuanya bernilai RM150,000 dirampas. Turut dirampas tujuh paket dadah jenis syabu dan 12 biji pil Eramin 5.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, serbuan dilakukan pada pukul 8.20 malam di sebuah hotel di Kampung Majidee oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam hasil daripada maklumat orang awam.

Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan ketika berada di lobi hotel berkenaan.

"Polis membuat pemeriksaan di bilik yang disewa mereka dan menemui pelbagai barangan seperti 11 keping kad kredit, enam keping kad mesin juruwang automatik (ATM), sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh utas jam tangan pelbagai jenama dan satu set permainan play station.

"Turut dirampas empat buah komputer riba, wang tunai RM1,000, dua keping cek, sebuah beg tangan wanita, sebuah buku akaun bank, 18 keping kad sim, dua buah kamera digital," katanya pada sidang akhbar di IPD Seri Alam di sini semalam.

Tambah Roslan, dalam serbuan tersebut, polis juga merampas tiga buah kenderaan dengan dua daripadanya bernombor pendaftaran negara jiran manakala sebuah lagi dilaporkan hilang pada Oktober lalu.

Katanya, selain itu, sebuah pemain cakera padat digital (DVD), serangkai kunci dan sebuah beg hitam mengandungi perkakasan pecah rumah.

"Dua kenderaan bernombor pendaftaran negara jiran itu didaftarkan untuk dilupuskan di negara itu," ujar beliau.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama lima hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment