Tuesday, January 26, 2010

Edar dadah guna kotak limau

KUALA LUMPUR 26 Jan 2010 - Taktik licik tiga pengedar dadah menggunakan kotak limau Mandarin untuk mengedarkan 'bekalan' kepada pembeli terbongkar apabila polis menahan mereka di hadapan sebuah restoran di ibu negara Jumaat lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, ketika ditahan pada pukul 2.30 petang, mereka yang berusia 31 hingga 41 tahun membawa sekotak limau bertulis 'Jing Xuan Mandarin'.

Namun, katanya, hasil pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi lima bungkusan lutsinar yang dipercayai dadah jenis heroin.

"Kesemua dadah itu seberat 2.3 kilogram dan bernilai kira-kira RM225,000. Sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan Naza Citra serta wang tunai RM1,154 milik suspek turut dirampas.

"Kita percaya suspek-suspek lelaki itu sedang menunggu orang tengah untuk mengedar bekalan dadah itu kepada pembeli," katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Chez Chiang, sekali pandang, kelihatan kesemua suspek seperti hendak memberi hadiah limau kepada seseorang.

Beliau yakin sindiket itu mengambil kesempatan perayaan Tahun Baru Cina ini untuk mengaburi mata polis.

Mengulas lanjut, Chez Chiang berkata, sekiranya dadah itu diproses untuk dipaketkan, ia boleh menghasilkan sehingga 22,500 tiub kecil yang dijual dengan harga RM10 setiap satu tiub.

Pemeriksaan ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif mengambil dadah.

"Kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan menyebabkan kecederaan kepada orang awam," katanya.

Kesemua mereka yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu ditahan reman selama enam hari.

No comments:

Post a Comment