Sunday, January 17, 2010

Dua lelaki ditahan kerana pecah rumah

KOTA KINABALU 17 Jan 2010 - Polis menahan dua lelaki yang terlibat dalam kes pecah rumah seorang ahli perniagaan di Taman Kemajuan Likas di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, kedua-dua suspek ialah warga tempatan dan berumur 19 tahun dan 24 tahun.

"Polis menahan mereka di kawasan berhampiran taman itu dan merampas tiga buah telefon bimbit yang dicuri tetapi wang tunai yang dilarikan sudah habis dibelanjakan.

"Wang tunai sebanyak RM2,850 itu dipercayai habis membeli dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Pada 9 Januari lalu, dua lelaki memecah masuk rumah ahli perniagaan berumur 30-an itu dan melarikan tiga telefon bimbit dan wang tunai.

Ahmad Sofi berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan pada awal minggu lalu, katanya, tiga lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat merompak seorang ahli perniagaan yang berasal dari Tawau.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa sedang berjalan-jalan sekitar kawasan Kampung Air di sini pada pukul 5.34 petang apabila tiba-tiba dihampiri sekumpulan lelaki.

Kumpulan lelaki terbabit, katanya, berpura-pura ingin berbual, tetapi kemudian menarik mangsa ke tempat sunyi dan mengugutnya.

"Semua suspek kemudian memaksa mangsa memberikan wang tunai dan telefon bimbitnya sebelum melarikan diri," katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, selepas sejam mangsa membuat laporan polis, tiga lelaki yang berusia antara 24 hingga 36 tahun ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Kata Ahmad Sofi, pihak polis berjaya merampas semula dompet dan telefon bimbit milik mangsa termasuk kunci hotel yang disimpan dalam dompet tersebut.

No comments:

Post a Comment