Sunday, January 17, 2010

Penjenayah samun kereta mewah mati ditembak

SUBANG JAYA 17 Jan 2010 - Seorang penjenayah yang dikehendaki untuk menghadiri sebutan kes samun kereta mewah ditembak mati dalam satu kejadian berbalas tembakan di Jalan Industri, USJ 1/10, di sini hari ini.

Suspek, Ng Meng Kee, 34, pernah ditahan atas dakwaan menyamun kereta mewah di Pandamaran, Klang, pada 13 November lalu sebelum dibebaskan atas jaminan polis.

Pertuduhan ke atas suspek telah dibuat pada Disember lalu sebelum sebutan semula kes terbabit pada 25 Januari ini.

Kejadian berlaku pada pukul 4 petang ketika suspek yang menaiki kereta Mercedes-Benz dengan nombor pendaftaran palsu berjaya dikesan di kawasan perindustrian terbabit.

Sebelum itu, suspek dikesan di kompleks beli-belah Berjaya Times Square dengan kereta terbabit namun berjaya meloloskan diri semasa cuba ditahan polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, suspek lalu bertindak merempuh pagar sebuah bangunan sebelum terbabas.

"Suspek keluar dari kenderaan itu lalu melepaskan satu das tembakan ke arah polis. Polis telah melepaskan tembakan dan mengenai kepala suspek," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Omar memberitahu, polis menemui sepucuk revolver bersama suspek dan sekeping nombor pendaftaran dalam kenderaan itu.

"Berdasarkan nombor plat tersebut, BGU 88, ia merupakan milik kereta Mercedes-Benz yang dilaporkan hilang oleh menantu kepada pemilik kedai barangan kemas, Tomei, pada 10 Januari lalu.

"Polis percaya lebih 10 kes berhubung samun kereta mewah di sekitar Lembah Klang sejak tahun lalu telah selesai.

"Suspek dipercayai melakukan kegiatan tersebut bersama lebih tiga penjenayah lain," katanya.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah mensasarkan mana-mana kediaman yang terdapat kereta mewah sebelum memecah masuk.

"Suspek kemudian akan mengacukan parang ke arah mangsa dan melarikan kereta mewah dan barang berharga," katanya.

Menurut Omar, pihak polis masih memburu saki baki kumpulan penjenayah itu.

No comments:

Post a Comment