MANJUNG 21 Nov. 2010 - Dua beranak parah selepas ditetak dengan parang oleh tiga penjenayah dipercayai warga asing yang merompak empat telefon bimbit dari rumah mereka di Kampung Matang Acheh, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Che Omar Ahmad, 58, cedera di kaki dan kepala manakala anak lelakinya, Saiful, 25, cedera di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, ketika kejadian, Che Omar, isterinya, Fatimah Dali, 48, dan enam ahli keluarganya termasuk Saiful sedang nyenyak tidur.
Katanya, seorang daripada tiga penjenayah berkenaan dikatakan masuk ke dalam rumah tersebut melalui salah satu tingkap dapur yang diumpil dari luar dan kemudian membuka pintu depan supaya dua lagi rakannya dapat masuk.
"Kesemua suspek memakai topeng muka dan mereka menggeledah rumah tersebut sebelum masuk ke bilik tidur Saiful untuk mencari barang berharga.
"Namun, kehadiran mereka disedari Saiful lalu berlaku pergelutan di ruang tamu sehingga menyebabkan Saiful mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat ditetak," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd. Jamil berkata, pergelutan tersebut menyebabkan Che Omar tersedar dari tidur dan terus ke ruang tamu untuk membantu anaknya.
"Kehadiran Che Omar menyebabkan salah seorang suspek telah memukul dan menetaknya menggunakan parang menyebabkan dia cedera di bahagian kaki dan kepala," jelasnya.
Mohd. Jamil berkata, kedua-dua mangsa kini menjalani rawatan di Hospital Seri Manjung di sini dan keadaan mereka dilaporkan semakin stabil.
Sunday, November 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment