Tuesday, November 23, 2010

Rahsia makmal dadah terbongkar

Seorang anggota polis dari Unit Forensik memeriksa sebahagian dadah serta pelbagai bahan membuat dadah di Lorong Lima, Air Itam, Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 23 Nov. – Taktik sindiket dadah menjadikan sebuah rumah teres di Lorong Lima, Jalan Matang Kucing di Ayer Itam di sini sebagai makmal memproses dadah akhirnya terbongkar.

Ia berikutan salah sebuah bilik di rumah berkenaan yang disyaki dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu terbakar, menyebabkan penghuni rumah tersebut melarikan diri.

Kejadian berlaku kira-kira pada pukul 8 pagi apabila dua lelaki yang dipercayai tinggal di rumah tersebut sedang rancak memproses dadah sebelum insiden itu berlaku.

Difahamkan, ketika usaha memadamkan kebakaran, anggota-anggota bomba mendapati ia bukan sebuah rumah biasa tetapi dijadikan makmal memproses dadah.

Tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian pada pukul 2 petang mendapati sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dan pasukan forensik sedang sibuk menjalankan siasatan di rumah tersebut.

Polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi dan seekor anjing dipercayai digunakan sindiket berkenaan untuk mengawal kawasan rumah itu.

Ketua JSJN negeri, Supritendan S. Batumalai ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penemuan tersebut dan memberitahu polis berjaya menemui dadah seberat kira-kira empat hingga lima kilogram.

“Rumah tersebut dipercayai dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu bernilai lebih RM1 juta,” ujarnya ringkas.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd. Zurizan Mohd. Yusof ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden berkenaan pada pukul 8.12 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

“Kita berjaya mengawal kebakaran yang berlaku di salah sebuah bilik rumah tersebut pukul 8.25 pagi dan operasi selesai sepenuhnya pada 10.18 pagi sebelum kita serah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan awal mendapati, semasa kejadian berlaku penghuni tiada di rumah dan kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada gas memasak di bilik terbabit yang kita tidak mengetahui untuk kegunaan apa,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment