Wednesday, November 10, 2010

5 anggota Geng Big Bear diberkas

2010/11/10
KUALA LUMPUR: Lima anggota "Geng Big Bear" yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam dan kafe internet di sekitar Wangsa Maju dan Gombak diberkas polis ketika cuba menyamun sebuah kafe internet di Taman Seri Rampai awal pagi ini.

Polis berjaya menggagalkan cubaan menyamun pada 6.15 pagi itu setelah unit rondaan kenderaan terserempak dengan lima lelaki berkenaan yang berusia antara 17 hingga 20 tahun, berkeliaran dengan motosikal berhampiran premis berkenaan dalam keadaan mencurigakan. Ketua Polis Daerah Sentul ACP, Zakaria Pagan, berkata polis turut menemui dua bilah parang dan dua belantan besi pada motosikal yang dipercayai dijadikan senjata untuk kegiatan menyamun mereka, ketika pemeriksaan dijalankan. Semua lelaki tersebut termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai "Big Bear" kerana berbadan gempal kini ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya, katanya.

"Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati semua dipercayai terbabit dalam tujuh kes samun kedai serbaneka dan kafe internet di sekitar Wangsa Maju dan Gombak pada tahun ini.

"Kita percaya penahanan mereka ini akan dapat menyelesaikan kes samun kedai serbaneka dan kafe internet di awal pagi sekitar Wangsa Maju dan Gombak," katanya.

Zakaria berkata, satu laporan polis telah dibuat di Wangsa Maju baru-baru ini yang antara lain menyebut dua remaja lelaki di mana seorang berbadan besar dan kecil telah menyamun sebuah kafe internet.
"Oleh itu kami percaya mereka inilah yang terbabit dalam kes samun yang mana modus operandi mereka adalah menyerbu masuk premis berkenaan dengan bersenjatakan parang di awal pagi.

"Selepas itu mereka akan ke kaunter dan merampas duit, rokok dan telefon sebelum melarikan diri. Kita percaya anggaran kerugian setakat ini hampir RM10,000," katanya.

Zakaria berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan geng itu adalah pecahan atau mempunyai kaitan dengan kumpulan yang pernah menyamun sebuah pusat internet 24 jam di Jalan Genting Klang di sini pada 5 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, tujuh lelaki berumur antara 17 hingga 24 tahun yang bersenjatakan parang menyamun premis itu yang kebetulan dikunjungi oleh dua anggota polis yang sedang menjalankan operasi cegah jenayah.

No comments:

Post a Comment