Monday, November 29, 2010

16 makmal dadah dibongkar

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Polis mencatat sejarah apabila berjaya membongkar 16 makmal memproses dadah dan merampas dadah seberat 3.5 tan yang dianggarkan bernilai RM220 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Kejayaan itu boleh dianggap satu rekod kerana ia merupakan rampasan tertinggi dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini, malah meningkat hampir 40 peratus berbanding tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, kejayaan besar itu adalah hasil usaha pembanterasan bersepadu dan berterusan yang dijalankan oleh anggotanya terutama terhadap kumpulan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Beliau berkata, dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, seramai 61 anggota sindiket dadah antarabangsa berjaya diberkas.

"Kita membongkar 16 makmal memproses dadah iaitu meningkat 40 peratus berbanding hanya 11 makmal yang diserbu sepanjang tahun lalu.

"Kumpulan sindiket itu memilih bandar-bandar besar yang sibuk dan menjadi tumpuan orang ramai seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor untuk mendirikan makmal operasi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan anggota sindiket dadah diberkas bukanlah di kalangan ahli kimia atau pakar tetapi rakyat tempatan, manakala penyeludup pula majoriti warga Iran.

Berdasarkan maklumat, kata Othman, sindiket dadah terbabit tidak sukar menghasilkan dadah di makmal tersebut kerana mudah mendapatkan bahan-bahan asas dan cara-cara untuk memprosesnya melalui Internet atau resipi sedia ada yang dibekalkan oleh sindiket itu sendiri.

"Ia (proses dadah) tidak ubah seperti memasak mee segera yang hanya perlu memasukkan air panas dan perencah," ujarnya.

Menurut Othman, setakat ini, sebanyak 3,559 jenis dadah berjaya dirampas termasuk 2.2 juta pil khayal termasuk pil psikotropik dan ekstasi yang mendapat permintaan tinggi di kalangan penagih tempatan.

Sehingga kini, katanya, kira-kira 1,000 rakyat asing ditangkap kerana kesalahan menyeludup dadah di negara ini sedang menunggu untuk menjalani hukuman termasuk digantung sampai mati.

Daripada 1,000 orang menunggu hukuman itu, ujarnya, warga Myanmar mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 283 orang, diikuti Iran 100 orang dan selebihnya dari lain-lain negara.

"Jika dicampur tangkapan rakyat tempatan dan warga asing, keseluruhannya terdapat 8,195 anggota sindiket penyeludupan dadah berjaya diberkas PDRM sejak Januari hingga September lalu, berbanding 6,381 orang ditangkap dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment