Wednesday, November 3, 2010

5 tukang rumah kaki pecah rumah tumpas

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my



A. Thaiveegan (memegang pistol) sambil menunjukkan barangan yang dirampas daripada geng pecah rumah di Seri Kembangan, dekat Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 3 Nov. - Lima rakan ini kelihatan seperti tukang rumah biasa, namun rupa- rupanya mereka menganggotai Geng Ah Soon iaitu kumpulan pecah rumah bersenjata api.

Modus operandi kumpulan itu adalah membaiki rumah sambil memerhatikan selok-belok kediaman tersebut untuk dijadikan sasaran.

Rumah sewa mereka di kawasan Taman Sungai Besi Indah di sini, menjadi lokasi intipan dan merancang kegiatan jenayah berkenaan.

Kegiatan mereka sejak setahun lalu, bagaimanapun terbongkar apabila polis menahan lima anggota kumpulan itu di rumah sewa tersebut, Rabu lalu.

Difahamkan, semasa ditahan kumpulan itu baru sahaja melakukan samun dipercayai di tiga buah rumah sekitar kawasan Taman Bukit Serdang, dekat sini.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, bertindak hasil maklumat mengenai tiga kejadian pecah rumah di sekitar Serdang, pihaknya berjaya menahan mereka.

"Mereka yang berusia 28 hingga 43 tahun itu bekerja sebagai tukang rumah.

"Kita percaya, ketika melakukan kerja-kerja membaiki, mereka memerhatikan selok-belok rumah untuk dipecah masuk," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Menurutnya, kumpulan itu dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Serdang, Kajang dan Cheras dengan memilih masa di awal pagi ketika penghuni keluar berjoging.

Katanya, ketika serbuan, lima suspek itu sedang membuka sebuah peti besi yang dipercayai baru dilarikan.

Katanya lagi, turut ditemui sepucuk pistol, kad kredit, kunci kereta, telefon bimbit, jam tangan, barang kemas, televisyen, komputer riba, kereta Toyota Camry dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan pecah rumah.

"Siasatan mendapati suspek memecah masuk dengan merosakkan pintu pagar atau jeriji rumah mangsa.

"Kenderaan itu pula milik pegawai tentera berpangkat mejar yang dicuri di Kawasan Perindustrian Trisegi Sungai Besi, 26 Oktober lalu," ujar beliau.

Tambah Thaiveegan, salah seorang daripada suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau bersabit kes samun, pecah rumah dan dadah.

"Saringan ujian air kencing mendapati, kesemua suspek positif dadah jenis syabu. Kita percaya, ketika melakukan jenayah terbabit, kesemua mereka berada di bawah pengaruh dadah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu ketua kumpulan itu, Lee Yuan Soon atau lebih dikenali sebagai Ah Soon berusia 37 tahun.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 dan 379 A Kanun Keseksaan

No comments:

Post a Comment