Monday, November 8, 2010

Remaja 15 tahun ditahan edar dadah

Oleh Zarina Abdullah
bhkt@bharian.com.my
2010/11/09
Jadikan rumah pusat pengedaran pil kuda

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang berhenti sekolah untuk mencari kerja berpendapatan lumayan, akhirnya terkandas apabila dia ditangkap di rumahnya di Kampung Batu Buruk di sini, kelmarin. Polis yang berjaya menghidu kegiatan gadis itu menjadikan rumahnya pangkalan pengedaran dadah di sekitar kawasan terbabit membuat intipan sejak beberapa minggu lalu sebelum melakukan serbuan pada jam 10.45 pagi kelmarin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata ketika serbuan, remaja perempuan itu bersama kakak ipar dan dua rakan lelaki sedang khayal dipercayai akibat mengambil pil kuda (methampetamine) dan ujian air kencing kemudian mendapati mereka positif dadah.

Katanya, polis merampas 67 pil kuda bernilai RM2,400 dalam serbuan di rumah itu.

“Remaja perempuan, kakak iparnya dan dua rakan lelaki berusia 20-an dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dan memasukkan dadah ke dalam tubuh,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman seminggu bermula semalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment