Thursday, November 18, 2010

Jaga maut diserang warga Vietnam

2010/11/19
SUNGAI PETANI: Seorang pengawal keselamatan sebuah kilang mati, manakala rakannya cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki warga Vietnam dalam pergaduhan di sebuah kilang membuat tiang konkrit di Amanjaya, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku pada jam 2.30 pagi ketika mangsa, Mohd Nasir Mohd Salleh, 33, bersama rakannya, Zulkifli Abu Seman, 49, berada di hadapan pintu masuk kilang tempat dia bertugas apabila diserang sekumpulan warga Vietnam menggunakan kayu dan senjata tajam. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, berkata serangan itu menyebabkan Mohd Nasir dan Zulkifli tidak sempat melawan. Katanya, kedua-dua mangsa parah di tangan, kepala dan badan akibat ditetak dengan senjata tajam dan dipukul dengan kayu.

Beliau berkata, Mohd Nasir mati di tempat kejadian, manakala Zulkifli kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati kumpulan pekerja Vietnam terbabit terhadap kedua-dua mangsa.

“Kita masih menyiasat berapa suspek kerana mereka melarikan diri selepas kejadian. Polis bagaimanapun menahan sejumlah lelaki Vietnam untuk membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment