Monday, November 8, 2010

Pecah rumah: Xavier rugi RM70,000

KLANG 8 Nov. 2010 - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. A. Xavier Jayakumar (gambar) kerugian kira-kira RM70,000 termasuk wang tunai RM20,000 apabila rumah berkembar dua tingkat di Taman Klang Jaya, di sini dipecah masuk hari ini.

Ketika kejadian dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah hari dan 2 petang itu, kediaman Xavier yang juga Exco kerajaan negeri tidak berpenghuni kerana ahli keluarganya keluar bekerja dan bersekolah.

Xavier sendiri sedang menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Annex di Shah Alam dekat sini, manakala pembantu rumahnya dikatakan pergi ke rumah saudaranya.

Difahamkan, selepas dimaklumkan mengenai kejadian oleh keluarganya melalui panggilan telefon, Xavier bergegas pulang.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusuf berkata, siasatan awal pihaknya percaya penjenayah yang memecah masuk rumah Xavier lebih daripada seorang.

Beliau berkata, suspek telah merosakkan besi jeriji di depan dan belakang sebelum memecah masuk rumah mangsa.

"Siasatan awal mendapati satu unit komputer, barangan kemas, kamera dan wang tunai RM20,000 yang berada di dalam rumah mangsa lesap.

"Turut hilang adalah pasport milik Xavier, isterinya, Sheila Devaraj, 53, dan anak, Dev Arul, 20," kata beliau ketika dihubungi di sini petang ini.

Menurut Mohamad, kejadian tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Xavier yang ditemui pemberita di rumahnya hari ini memberitahu, kejadian tersebut merupakan kali pertama selepas beliau menetap di situ sejak 21 tahun lalu.

Katanya, selain komputer dan kamera, sebuah peti besi mengandungi wang tunai dan pasport miliknya dilarikan penjenayah terbabit.

Anak bongsu Xavier, Dev Arul pula berkata, dia menyedari kejadian selepas pulang dari sekolah berdekatan pukul 3.30 petang.

"Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa walaupun pintu pagar pintu utama terbuka.

"Bagaimanapun selepas melihat keadaan empat bilik termasuk bilik saya dan ibu bapa berselerak, semua laci meja terbuka dan peti besi ayah hilang, saya terus hubungi ibu dan ibu memaklumkan kepada bapa," ujarnya.

Difahamkan, rumah semi-D itu tidak mempunyai sebarang kamera litar tertutup atau dipasang alat penggera keselamatan.

No comments:

Post a Comment