Wednesday, November 17, 2010

Mayat lelaki dengan tangan, kaki terikat ditemui dalam lombong

2010/11/18
KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemui dalam sebuah lombong dengan keadaan tangan dan kakinya diikat dengan wayar di Kampung Keliang, Kalumpang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Norel Azmi Yahya Affendi, berkata tiga kesan tikaman dikesan di belakang badan lelaki yang dipercayai warga asing berumur 30-an itu yang ditemui terapung dalam lombong berkenaan oleh orang awam pada 6.30 petang semalam. "Selain diikat, bahagian muka lelaki itu turut dibalut dengan pita pelekat," katanya melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) di sini hari ini. Beliau berkata, identiti lelaki itu belum dikenal pasti dan mayat lelaki dengan ketinggian 153 sentimeter itu ditemui dengan t-shirt belang berwarna coklat dan biru, berseluar jeans berwarna coklat dan bertali pinggang hitam.

Norel Azmi berkata, mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru (HKKB) untuk bedah siasat dan pemeriksaan awal mendapati lelaki itu mati sejak tiga hari lalu.

Kes bunuh itu sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment