Wednesday, November 17, 2010

Polis berjaya tumpas cubaan samun treler

2010/11/18
JOHOR BAHRU: Polis berjaya mematahkan cubaan samun treler kontena berisi dakwat pencetak industri bernilai lebih RM200,000, kelmarin dan kini sedang memburu suspek kes terbabit.

Dalam kejadian 7 malam kelmarin, dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya yang menjalankan rondaan di Kawasan Perindustrian Taman Tan Sri Yaakob, di sini, mengesan sebuah kontena tanpa kepala treler yang dipercayai disamun beberapa jam sebelum itu. Ketika anggota polis itu menghampiri dua lelaki yang berada berhampiran treler berkenaan, mereka dengan tiba-tiba memandu sebuah kenderaan lain dan melarikan diri. Pemeriksaan polis terhadap kontena berkenaan membawa kepada penemuan dakwat pencetak industri itu yang dipercayai hasil samun kontena berkenaan.

Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai menyamun lori kontena itu dan membawa bersama pemandunya yang ketika itu dalam perjalanan ke Pasir Gudang, kira-kira jam 4.30 petang.

Mata serta tangan pemandu berusia 45 tahun itu diikat oleh suspek sambil mengacu parang kepada pemandu itu.

Suspek dipercayai memandu lori terbabit ke kawasan Perindustrian Taman Tan Sri Yaakob dan meninggalkan kontena berkenaan di bahu jalan kira-kira 7 malam, manakala kepala treler ditinggalkan di Jalan Layang, Taman Perling, di sini bersama pemandu dengan mata dan tangannya masih diikat.
Pemandu treler berkenaan yang diselamatkan orang ramai, membuat laporan di Balai Polis Taman Perling.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff meminta orang ramai yang mempunyai sebarabg maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi talian hotline Polis Johor di 07-2212999 atau datang ke balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment