Tuesday, November 9, 2010

Dadah RM800,500 dirampas

Oleh Nor Hatina Shuib
bhnews@bharian.com.my
2010/11/10
Wanita warga Thai, Togo ditahan ketika pemeriksaan di KLIA

SHAH ALAM: Polis merampas dadah jenis syabu dan kokain dianggarkan bernilai RM800,500 selepas menahan seorang wanita rakyat Thailand dan seorang wanita rakyat Togo dalam dua operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu. Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata dalam operasi pertama pada jam 10.50 pagi itu, Bahagian Narkotik KLIA dengan kerjasama polis Bukit Aman menahan wanita warga Thailand berumur 26 tahun selepas dilihat berkelakuan mencurigakan. Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan ke atas beg yang dibawa wanita berkenaan tidak menemui barang mencurigakan.

“Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Serdang menjalani pemeriksaan badan menerusi ujian sinar X dan mendapati ada 82 kapsul di dalam perut wanita itu, dipercayai kokain yang ditelan menggunakan bahan lilin.

“Pihak hospital mengambil masa tiga hari bagi mengeluarkan dadah berkenaan daripada perut wanita itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor di sini, semalam.

Dadah seberat 1.1 kilogram (kg) dikeluarkan daripada perut wanita terbabit dianggarkan bernilai RM240,000.
Dalam kejadian kedua kira-kira jam 11.40 pagi pada hari sama, Bahagian Narkotik KLIA menahan wanita warga Togo dari Afrika sebaik tiba dari Dubai ketika menolak troli dalam keadaan mencurigakan.

Nordin berkata, pemeriksaan ke atas beg plastik dibawa wanita berusia 32 tahun itu mendapati ia mengandungi makanan kering seperti ikan masin sebelum menemui dua plastik lutsinar tersorok di kiri kanan beg, dipercayai berisi syabu seberat 2.2 kg.

No comments:

Post a Comment