Monday, November 29, 2010

3 ditahan, dadah RM165,000 dirampas

AMAR Singh Ishar Singh (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPKL, Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 29 Nov. - Polis menahan tiga pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM165,000 ketika suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, Khamis lalu.

Serbuan kira-kira pukul 7 malam itu dilakukan oleh unit Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi berdasarkan maklumat orang awam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, ketika serbuan, ketiga-tiga mereka berada di dalam sebuah kereta Perodua Myvi.

Beliau berkata, antara yang dirampas adalah jenis pil Eramin 5 berjumlah 10,022 biji, ekstasi (50 biji), syabu (tujuh peket) dan ganja (satu peket).

Difahamkan, ada di antara dadah-dadah itu diletakkan di dalam tisu lembap dan kotak kecil biskut.

"Saringan ujian air kencing mendapati, kesemua mereka yang berusia 26 hingga 40 tahun itu positif dadah," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati, salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Katanya, siasatan ke atas kenderaan yang digunakan juga adalah milik salah seorang daripada mereka.

"Kita juga percaya kumpulan ini aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak enam bulan lalu untuk pasaran pusat-pusat hiburan di ibu negara.

"Kesemua mereka ditahan reman tujuh hari sehingga 2 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam kes berasingan, Amar Singh memberitahu, pihaknya menahan tiga remaja warga Nigeria di sebuah kondominium di Taman Connaught di sini, kelmarin kerana kesalahan membabitkan pemilikan dadah.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia 19 hingga 32 tahun dan merupakan pelajar di kolej swasta di ibu negara.

No comments:

Post a Comment