Sunday, November 14, 2010

Polis tahan 9 individu termasuk suami isteri, dipercayai sindiket proses dan edar heroin

2010/08/16
BATU PAHAT: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah jenis heroin di Johor selepas menahan sembilan individu termasuk sepasang suami isteri dalam tiga serbuan di sini dan Muar, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib, berkata dalam serbuan pertama pihaknya menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah di Taman Sri Penggaram yang dipercayai turut menjadi makmal memproses dadah. "Dalam serbuan itu polis merampas 15.18 kilogram (kg) heroin nombor tiga, 1.15 kg heroin nombor empat, 25 kg kafein, 940 pil eramin 5 serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses heroin," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat di sini, hari ini. Susulan itu, katanya, polis membuat dua lagi serbuan dan menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Indonesia di sini dan Muar.

Beliau berkata, polis turut menemui 100 gram ketamin, 152 gram syabu dan 11.4 gram heroin ketika menahan tujuh lelaki berkenaan.

Hasil siasatan, mereka membawa pihak polis ke sebuah rumah di Taman Indah, Muar yang didapati dijadikan stor simpanan dadah dan menemui 4.41 kg heroin nombor tiga, 109.58 kg kafein, 13 botol cecair kimia dan 12 botol serbuk eno.

"Semua heroin yang dirampas itu mencecah harga pasaran sehingga RM500,000. Polis turut menyita lima kereta termasuk Toyota Estima, Honda, Saab, Proton Iswara dan Wira serta dua motosikal.
"Turut disita adalah wang tunai dengan matawang Malaysia, Indonesia dan Singapura, tiga jam tangan berjenama, dua komputer notebook serta sejumlah barangan kemas," katanya.

Kesemua yang ditahan itu berumur antara 22 dan 38 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. -

No comments:

Post a Comment