Tuesday, November 16, 2010

Penjaga pakir dituduh cedera wanita dengan kapak

2010/11/16
SHAH ALAM: Seorang penjaga tempat letak kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencederakan seorang wanita menggunakan sebilah kapak semasa merompak mangsa pada akhir bulan lalu.

Nuradham Khairuddin, 27, dari Sungai Buloh, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Hasbi Hasan. Tertuduh didakwa merompak sebuah beg tangan, dua buah telefon bimbit Nokia dan Sony Ericsson serta wang tunai RM2,000 milik Hasimah Yusof, 46, dan semasa melakukan rompakan tertuduh telah mencederakan mangsa menggunakan sebilah kapak. Nuradham didakwa melakukan kesalahan itu di tepi kilang No: 65, Jalan Kip 9, Taman Perindustrian Kip, Sri Damansara, Kepong, Gombak, kira-kira 5.30 petang pada 27 Oktober lalu.

Tertuduh yang ditangkap pada hari kejadian didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Baharom yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana dalam kes itu ada senjata digunakan dan mangsa telah dicederakan.

Nuradham pula memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin atas alasan dia perlu menanggung keluarga.
Hasbi kemudian memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment