ALOR SETAR 11 Nov. 2010 - Seorang penjual emas maut selepas ditembak oleh dua perompak bertopeng di tempat letak kereta pasar buah-buahan di Pekan Cina di sini hari ini.
Mangsa, Fong Chung Sing, 49, ditembak dari jarak dekat yang mengenai badannya oleh salah seorang daripada penjenayah tersebut dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, mangsa sebelum itu baru keluar dari sebuah kedai emas berhampiran lokasi kejadian sambil membawa dua beg berisi barangan kemas yang tidak diketahui nilainya.
Katanya, ketika Chung Sing sedang berjalan menuju ke kenderaannya, dua perompak tersebut menghampiri mangsa dan melepaskan satu das tembakan ke badannya.
"Berikutan tembakan itu, mangsa terjatuh tidak jauh dari tempat dia ditembak.
"Perompak berkenaan kemudian meragut kedua-dua beg yang dibawanya sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna emas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohd. Zakaria berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua penjenayah itu telah memerhatikan gerak geri mangsa sebelum melakukan rompakan.
Menurutnya, Chung Sing berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang dan datang menjual emas ke kedai-kedai di sekitar bandar raya ini sejak setahun lalu.
Berikutan kejadian itu, katanya, polis sedang memburu kedua-dua suspek termasuk mengadakan pemeriksaan dan sekatan jalan raya di semua laluan keluar dari bandar raya ini.
Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Setar.
Thursday, November 11, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment