Wednesday, November 17, 2010

Lelaki berang libas pedang samurai

Oleh Sarah Sulaiman
sarahsulaiman@bharian.com.my
2010/11/18


PEMILIK tanah yang disyaki menjalankan aktiviti mencuri pasir di Sungai Kembung Hulu menujukkan pedang samurai kepada Penguat kuasa Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat di Semenyih, kelmarin.Pemilik lombong pasir haram bertindak ganas elak penguat kuasa sita jentera

SEMENYIH: Pemilik kawasan melombong pasir haram di Sungai Kembong Hulu, dekat sini dipercayai bertindak ganas apabila menggunakan pedang samurai untuk menghalang penguat kuasa Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat (PTDHL) daripada menyita jentera yang digunakannya. Lapan anggota PTDHL termasuk wartawan Berita Harian berdepan detik cemas apabila lelaki berusia 30-an, itu mengarahkan rakannya menutup palang pintu kawasan perlombongan dan kemudian bertindak melibas serta mengancam akan membunuh penguat kuasa yang cuba mengambil tindakan. Penguat kuasa PTDHL membuat pemeriksaan berikutan pendedahan Sentral kelmarin, bahawa kawasan terbabit menjalankan semula kegiatan mengorek dan mencuri pasir di kawasan lombong pasir haram walaupun pernah dikenakan tindakan sebulan lalu.

Lelaki itu juga bertindak mengancam membunuh sesiapa saja selepas Penolong Pegawai Daerah (Penguatkuasa), PTDHL, Mohd Fadhlullah Omar mengarahkan anggotanya menyita jentera bernilai lebih RM300,000 yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan terbabit.

“Saya tidak bersalah, ini tanah saya dan apa bukti yang saya menjalankan kegiatan ini (curi pasir). Sebelum ini pejabat tanah (PTDHL) suruh saya ratakan pasir saja, kali ini kenapa nak ambil jentera.

“Siapa ambil jentera biar dua-dua mati, saya mati di tali gantung, awak mati di pedang saya,” kata lelaki itu yang berang sambil memegang dan menghunuskan pedang ke arah anggota PTDHL.
Pada 19 Oktober lalu, sepasukan penguat kuasa PTDHL bersama agensi penguat kuasa lain, menyerbu kawasan perlombongan pasir haram itu menemui sebuah mesin pengaut pasir yang disorokkan dan mengeluarkan arahan supaya kegiatan perlombongan dihentikan serta-merta.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat, Zainal Abidin Aala berkata laporan polis dibuat di Balai Polis Beranang, di sini berhubung tindakan lelaki terbabit yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan mengancam menggunakan pedang.

“Kita difahamkan lelaki itu mengamuk selepas penguat kuasa mahu menyita jentera yang disewa RM10,000 sebulan. Selepas gagal menyita jentera itu termasuk kekurangan bukti anggota PTDHL hanya menyita bateri dan komponen penting jentera.

Katanya, PTDHL memberikan notis 8A iaitu mewartakan tanah itu milik kerajaan kerana kegagalan mematuhi notis 7B yang dikeluarkan sebelum ini.

“Selepas memberikan notis 8A kertas siasatan akan disiapkan, individu akan diambil tindakan mengikut Seksyen 426 (1) Kanun tanah Negara Pindaan 2008 yang jika disabitkan kesalahan pengusaha terbabit boleh didenda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

No comments:

Post a Comment