Thursday, November 11, 2010

Dua tahanan Nigeria lolos dalam perjalanan ke KLIA

2010/11/11
PUTRAJAYA: Dua warga Nigeria berjaya meloloskan diri dari kenderaan Jabatan Imigresen ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang untuk dihantar pulang ke negara asal, malam tadi.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam, berkata kedua-dua lelaki itu sebelum ini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen KLIA atas kesalahan penyalahgunaan pas pelajar dan dikenakan tindakan pengusiran. Bagaimanapun, difahamkan van Jabatan Imigresen yang membawa Solomon Udo Eneh dan Osuji Chinedu, bersama seorang lagi warga Palestin, singgah di sebuah stesen minyak sebelum dua lelaki yang bergari itu bertindak melarikan diri. Mahmood berkata, berikutan kejadian 11.30 malam itu, dua pegawai Imigresen yang mengiringi tahanan terbabit telah digantung tugas dan usaha menjejak dua warga Nigeria itu sedang dilakukan dengan bantuan polis.

"Pasukan petugas khas sudah ditubuhkan untuk menyiasat insiden berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, warga Palestin yang berada dalam kenderaan itu tidak melarikan diri dan dia rela dihantar pulang ke negara asalnya.

"Kita sedang menyiasat bagaimana mereka boleh terlepas ketika dalam perjalanan berikutan jarak antara depoh dan KLIA adalah dekat," katanya.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi pihak berkuasa bagi membantu mengesan dua tahanan imigresen itu.

No comments:

Post a Comment