Wednesday, November 10, 2010

Wanita dipenjara sehari, denda RM14,000 kerana sogok polis

2010/11/10
SHAH ALAM: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memberi RM17,500 kepada seorang pegawai polis sebagai dorongan untuk melepaskan rakannya, seorang rakyat Columbia yang ditahan kerana kesalahan pecah rumah.

Tertuduh, Anne Charmaine Skelchy, 41, boleh dipenjara selama sebulan, jika gagal membayar denda itu. Skelchy yang berasal dari Taman Abadi Indah, Kuala Lumpur, didakwa memberi wang sogokan kepada Cif Inspektor Zahirudin Baharum sebagai dorongan untuk melepaskan Nelson Dario Hurtado daripada tindakan siasatan yang dijalankan terhadapnya bagi kesalahan pecah rumah di pejabat Ketua Balai Polis Hulu Klang di Ampang, 5.50 petang pada 27 Jun lalu. Pertuduhan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.

Di mahkamah sama, Hurtado, 24, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan penjara RM90,000 selepas mengaku bersalah bersubahat dengan Skelchy untuk memberi wang itu kepada pegawai yang sama, pada masa, tarikh dan tempat sama.

Jika gagal membayar denda, lelaki itu boleh dipenjara selama tiga bulan.

Hurtado didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Fazillah Mohd Osman, sementara pembelaan diwakili peguam Varghese Onny. -

No comments:

Post a Comment