Thursday, November 18, 2010

Dua lelaki bersenjata parang samun suri rumah

2010/11/19
TEMERLOH: Dua lelaki bersenjata parang menyamun dua suri rumah dalam dua kejadian berasingan di Taman Temerloh Jaya dan Taman Rimba, Mentakab dekat sini, pagi semalam.

Kedua-dua suspek dipercayai orang yang sama, iaitu seorang bertubuh kurus dan seorang lagi berbadan gempal menunggang motosikal jenis Yamaha 125 berdasarkan laporan mangsa. Dalam kejadian pertama pada jam 8 pagi, suspek memasuki pekarangan sebuah rumah di Taman Temerloh Jaya lalu mengugut mangsa ketika itu sedang menyiram pokok bunga. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata suri rumah berusia 30-an itu tidak dapat berbuat apa-apa selepas suspek mengacukan parang ke arahnya dan mengarahkannya berdiam diri.

“Mangsa yang ketakutan terpaksa menyerahkan rantai lehernya yang dianggarkan bernilai RM15,000 kerana bimbang dicederakan,” katanya.

Beliau berkata, sejurus selepas itu, kedua-dua suspek melarikan diri dan menghala ke arah Taman Rimba, Mentakab.

Katanya, suspek menggunakan modus operandi yang sama, iaitu menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah dan mengugut mangsa yang ketika itu sedang membersihkan lantai.
“Seorang suspek mengacukan parang ke arah mangsa dan meminta diserahkan rantai leher sebelum melarikan diri.

“Dalam kejadian berkenaan, mangsa berusia 40-an kerugian rantai leher bernilai RM3,000,” katanya.

Md Nor berkata, kedua-dua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada jam 11.30 pagi semalam.

Katanya, kes itu siasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil ke IPD Temerloh bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment