Monday, August 2, 2010

Warga Iran sorok syabu RM25 juta

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/08/03
Miliki kereta mewah, sewa Semi-D RM13,000 sebulan

KUALA LUMPUR: Rahsia kehidupan mewah seorang lelaki warga Iran terbongkar selepas polis menahannya bersama 113 kilogram syabu bernilai hampir RM25 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Kiara di sini, Sabtu lalu. Difahamkan, suspek berusia 26 tahun itu menjadikan rumah jenis Semi-D yang disewanya pada harga RM13,000 sebulan sebagai pusat penyimpanan dan pembungkusan dadah.
Suspek yang turut memiliki kereta mewah Mercedes-Benz E250 bernilai RM550,000, dipercayai memasuki negara ini sejak awal tahun ini.

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata suspek ditahan sepasukan anggota dan pegawai polis bersama seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dalam serbuan jam 3 petang, hasil maklumat risikan.

Katanya, pemeriksaan awal, polis menemui lapan bekas berbentuk silinder setiap satunya berisi 14 kilogram dadah jenis syabu di dalam rumah terbabit.
Beliau berkata, turut ditemui beberapa gulung plastik dipercayai digunakan membungkus dadah berkenaan sebelum dijual kepada pembeli.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM260,000, dipercayai hasil penjualan dadah berkenaan dan menyita kenderaan mewahnya itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Othman berkata, siasatan awal mendapati dadah terbabit dibawa masuk ke negara ini melalui laluan udara menggunakan perkhidmatan kurier dan kargo sebuah syarikat penerbangan tempatan.

Katanya, semakan terhadap rekod syarikat terbabit mendapati kargo yang diisytiharkan sebagai bungkusan ais itu tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu.

Beliau berkata, polis kini menyiasat tempoh kegiatan sindiket terbabit serta kaitannya dengan serbuan sindiket dadah membabitkan pasangan suami isteri warga Iran di Hartamas, minggu lalu.

“Kita tidak menolak kemungkinan dua kes terbabit mempunyai kaitan, namun siasatan lanjut sedang dijalankan. Kedua suspek kini direman sehingga 7 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Polis sebelum ini memberkas sepasang suami isteri warga Iran berusia 39 dan 34 tahun dalam dua serbuan berasingan pada 22 dan 23 Julai lalu, masing-masing di sebuah rumah teres tiga tingkat yang dipercayai dijadikan stor menyimpan pelbagai bahan kimia bagi pemprosesan syabu di Sri Hartamas dan banglo mewah di Sunway SPK Damansara.

Sementara itu, Othman berkata, seramai 108 individu termasuk 13 wanita warga Iran ditahan sejak Januari hingga kini kerana terbabit dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa membabitkan jumlah rampasan dadah sebanyak 270 kilogram.

Pada 2009, katanya, hanya 20 tangkapan membabitkan warga Iran dengan jumlah rampasan dadah 13 kilogram, sekali gus menunjukkan peningkatan permintaan di negara ini serta negara di sekitar Malaysia.

“JSJN Bukit Aman dengan bantuan KLIA sudah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menangani perkara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment