Thursday, August 26, 2010

Perompak bersenjata pistol, parang tumpas

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2010/08/27


KHALID menunjukkan senjata yang digunakan oleh penjenayah yang mati di tembak di Banting, semalam2 ditembak mati selepas samun syarikat bas

BANTING: Polis menembak mati dua perompak bersenjatakan pistol dan parang di Kampung Sungai Lang Dalam di sini, kira-kira setengah jam selepas menyamun pejabat sebuah syarikat bas, tengah malam kelmarin. Seorang lagi perompak yang berjaya melarikan diri selepas kereta Proton Waja yang mereka naiki terbabas di kawasan tali air berdekatan ketika dikejar polis dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, kini diburu. Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek berumur 41 dan 43 tahun yang ditembak mati itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes merompak, mencuri dan mendatangkan kecederaan.

Malah, seorang daripada mereka pernah ditahan di Simpang Renggam, Johor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya sudah melancarkan gerakan memburu suspek yang lolos dengan mendapatkan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Ketiga-tiga lelaki terbabit sebelum itu merompak sebuah syarikat di pekan ini pada jam 12 tengah malam ketika dua pekerja syarikat itu menutup pejabat. Polis yang mendapat maklumat 20 minit kemudian berjaya mengesan kereta dinaiki suspek dan cuba memintasnya.
“Selepas kereta itu terbabas, ketiga-tiga mereka keluar dari kenderaan dengan seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan ke arah polis dan ini memaksa polis membalas tembakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Khalid berkata, hasil pemeriksaan terhadap kereta itu menemui dua pucuk pistol dan sebilah parang dipercayai digunakan untuk merompak, selain wang tunai berjumlah RM6,000.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seorang daripada perompak itu turut melepaskan dua das tembakan ke arah siling dan lantai pejabat ketika melakukan rompakan.

“Polis percaya kumpulan ini terbabit dalam beberapa rompakan sebelum ini termasuk satu rompakan di Klang tahun lalu,” katanya.

“Siasatan awal juga menunjukkan kereta yang digunakan perompak dilaporkan dicuri di Klang pada Mei lalu,” katanya

No comments:

Post a Comment