Monday, August 16, 2010

Isteri, sepupu diserang kerana cemburu

2010/08/16
KUANTAN: Seorang suri rumah warga Indonesia dan sepupunya cedera selepas diserang oleh suami wanita berkenaan yang cemburu dalam satu kejadian di Kampung Jeram Batu, dekat Kuala Lipis.

Mangsa wanita yang berusia 25 tahun itu cedera di lengan dan badan manakala sepupu lelakinya, 25, menerima tujuh jahitan di bahagian kepala selain cedera di bahu dan mulut selepas diserang dengan sebilah pisau.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, dalam kejadian jam 1 tengah hari Jumaat lalu itu, wanita terbabit dikatakan baru saja pulang ke rumah selepas membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya berdekatan. "Mangsa dikatakan telah keluar untuk membeli barang keperluan di sebuah pasar raya berdekatan sebelum terjumpa sepupunya yang kemudian menemaninya pulang ke rumah.

"Ketika itu juga suami mangsa yang baru balik dari kerja dipercayai naik angin secara tiba-tiba kerana cemburu selepas melihat isterinya berada bersama lelaki itu di ruang tamu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam keadaan marah, suspek terus ke dapur mengambil sebilah pisau sebelum menyerang kedua-dua mangsa.

"Wanita dan sepupunya itu kini dirawat di Hospital Kuala Lipis,” katanya.
Abdul Razak berkata, suspek yang juga warga Indonesia dan bekerja sebagai buruh ladang di kawasan berkenaan telah melarikan diri.

"Siasatan awal dikatakan kerana cemburu. Pihak masih memburu suspek,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment