Tuesday, August 17, 2010

Digantung kerana bunuh budak

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 17 Ogos - Seorang penganggur terpaksa mengakhiri usia mudanya di tali gantung atas kesalahan membunuh seorang kanakkanak perempuan berusia tiga tahun di sebuah bilik hotel murah, sembilan tahun lalu.

Ia ekoran keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi yang menolak rayuan akhir Aziz Mat Shah, 31, dan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadapnya.

Mangsa, Nik Zarina Abdullah merupakan anak kekasihnya yang merupakan pekerja khidmat seks dan ketika kejadian, kanak-kanak itu di bawah jagaan Aziz ketika wanita tersebut tiada di rumah.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak itu ditampar dan ditumbuk dengan kuat di dada dan perut berkali-kali manakala mukanya ditekup dengan bantal setelah dia mengadu lapar dan mahukan ibunya.

Aziz selaku perayu disabitkan membunuh mangsa di antara pukul 10 malam, 1 Mei 2001 dan 12.20 malam keesokannya di bilik hotel yang mereka duduki di Jalan Tun H.S. Lee di ibu negara.

Hakim Zaki yang bersidang bersama Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2004 yang menjatuhkan hukuman gantung terhadapnya.

Dalam keputusan ringkasnya, Hakim Zaki menyatakan, mahkamah berpuas hati bahawa perbuatan Aziz memukul mangsa mempunyai niat membunuh melainkan perayu membuktikan bahawa dia tidak mengetahui langsung tindakannya itu boleh membawa kematian.

Beliau turut berkata, jalan terakhir untuknya merayu bagi meringankan hukuman adalah melalui lembaga pengampunan.

Aziz diwakili oleh peguam Mohamad Hanif Khatri Abdulla manakala Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili pihak pendakwaan.

No comments:

Post a Comment