Tuesday, August 10, 2010

Pemuda ke tali gantung

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my



T. Manimaran dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Seremban, semalam selepas dijatuhi hukuman mati kerana membunuh majikannya.

--------------------------------------------------------------------------------



RASAH 10 Ogos – Seorang pemuda termangu-mangu seketika apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban di sini, hari ini setelah disabitkan dengan tuduhan membunuh majikannya yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibunya, tiga tahun lalu.

T. Manimaran, 22, didapati bersalah membunuh V. Raju, 58, di rumah pekerja di Kilometer 16, Ladang Cheng Kiau, Jalan Kepis Dangi, Kuala Pilah antara pukul 10 dan 12 tengah malam, 22 Disember 2007.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dia sebelum ini dibicarakan atas tuduhan itu bersama rakannya, A. Supramaniam, 35, yang juga merupakan menantu kepada mangsa.

Supramaniam bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan berkenaan pada Julai lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap Manimaran.

‘‘Tertuduh telah mengaku kepada saksi (isteri Supramaniam) bahawa dia telah memukul mangsa dengan kayu. Dia juga mengaku bahawa ketika kejadian dia sedang mabuk bagaimanapun ia tidak dibuktikan oleh pihak pembelaan,’’ katanya.

Ahmad Nasfy juga menyatakan, mahkamah tidak dapat menerima keterangan yang kedua-dua tertuduh bersama-sama melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa.

Berdasarkan fakta kes, Raju dikatakan sedang tidur ketika diserang oleh Manimaran yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dada.

Terdahulu, Wan Shaharuddin yang berhujah di akhir kes pembelaan menyatakan, walaupun tidak ada saksi yang melihat kejadian berkenaan namun tertuduh telah mengaku melakukan pembunuhan itu kepada isteri Supramaniam.

‘‘Tertuduh juga telah menunjukkan kayu yang digunakan untuk memukul mangsa dan seluar jeansnya juga mengandungi kesan darah,’’ katanya.

Peguam bela, S. Puspanathan yang mewakili Manimaran ketika ditemui oleh pemberita memberitahu, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

No comments:

Post a Comment