KUANTAN 10 Ogos 2010 - Seorang pemilik sebuah pasar raya bersama seorang pekerjanya cedera di kepala selepas dibelasah empat lelaki dalam kejadian samun di hadapan premis perniagaannya di Kampung Padang 2 dekat sini semalam.
Mereka dipukul dengan cota kayu apabila cuba mempertahankan wang tunai hasil kutipan perniagaannya kira-kira RM273,000 dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu.
Mangsa dan pekerjanya yang berusia lingkungan 40-an bagaimanapun gagal mempertahankan sebahagian wang miliknya apabila sempat disamun kumpulan penyamun terbabit.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, semasa pergelutan itu, suspek hanya sempat melarikan RM165,000 manakala selebihnya berjaya diselamatkan.
"Ketika berada di hadapan pasar raya itu, kedua-dua mangsa tiba-tiba didatangi empat lelaki yang menaiki sebuah kereta.
"Mangsa kemudian bergelut dengan suspek untuk mempertahankan wangnya sebelum suspek bertindak ganas membelasah mereka dengan kayu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Jasmani, mangsa dan pekerjanya itu membawa wang tunai hasil kutipan perniagaannya selama tiga hari untuk disimpan di sebuah bank di sini.
"Walaupun mangsa cuba bergelut untuk mempertahankan wang itu namun mereka tidak berdaya menghalang serangan suspek seramai empat orang," katanya.
Tambah beliau, keempat-empat penyamun terbabit melarikan diri manakala mangsa yang cedera ringan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
"Polis sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Tuesday, August 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment