Tuesday, August 31, 2010

Dadah: 7 gadis Malaysia berjaya diselamatkan

PESHAWAR 31 Ogos 2010 - Tujuh gadis 'keldai dadahg' dari Malaysia yang nyaris ditahan pihak berkuasa di Karachi, Pakistan kerana menyeludup bahan larangan tersebut telah dihantar pulang ke tanah air.

Mangsa terbaru diperdaya warga Afrika di Kuala Lumpur itu termasuklah anak anggota polis yang berjaya diselamatkan Konsul Malaysia di sini pada April lalu.

Bilangan mangsa itu membuktikan masih ada gadis dan wanita Malaysia terperangkap dengan sindiket pengedaran dadah warga asing tersebut.

Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Mohd. Khalid Abassi Abdul Razak berkata, kebanyakan mangsa hanya menyedari ditipu dan digunakan sebagai 'keldai dadah' sebaik sahaja berada di negara ini.

Katanya, setelah menyedari ditipu, mereka meminta bantuan kakitangan konsul Malaysia daripada ditahan pihak berkuasa Pakistan.

"Anak-anak gadis itu bernasib baik kerana tidak ditahan oleh pihak berkuasa di sini kerana mereka meminta bantuan pejabat konsul kita.

"Kebanyakan mereka terpedaya dengan upah lumayan mencecah RM10,000 setiap kali berjaya menyeludup kira-kira satu kilogram heroin.

"Pengedar pula mampu mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit daripada kegiatan tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khalid, setiap mangsa menghadapi risiko kematian apabila mereka hanya diberikan makan kacang sebelum diminta menelan bungkusan heroin yang diisi dalam kondom bagi mengelak dikesan.

Beliau mencadangkan pihak berkuasa di Malaysia supaya menjalankan semakan status gadis-gadis tempatan di pintu keluar lapangan terbang sebelum dibenarkan keluar negara.

"Kita mesti menyemak tujuan mereka ke destinasi luar negara sama ada belajar atau melancong bagi mengelakkan daripada dijadikan keldai dadah," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan memastikan anak-anak mereka tidak terpedaya dengan ganjaran lumayan pihak-pihak terlibat. - Utusan

No comments:

Post a Comment