Sunday, August 29, 2010

Penyeludup makin berani

2010/08/30
RANTAU PANJANG: Penyeludup di kawasan sempadan kini bertindak agresif terhadap pasukan keselamatan dengan memandu kenderaan mereka dengan laju sehingga melanggar kenderaan pasukan keselamatan dalam usaha meloloskan diri dari ditahan.

Kejadian ganas itu berlaku ketika Pasukan Gerakan Am (PGA) cuba menahan dua kenderaan yang digunakan untuk menyeludup kain batik dari Thailand, berdekatan Jalan Banggol Stol, dekat sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 7 malam itu, sebuah daripada dua buah kereta yang digunakan untuk tujuan menyeludup itu rosak teruk pada bahagian tepi penumpang selepas melanggar kenderaan PGA dalam cubaan melepaskan diri. Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Rooslan Radzi, berkata pasukannya membuat pemantauan berhampiran pangkalan haram Jitong, Bukit Lata dan mengesan kereta Proton Wira serta Proton Wira Aeroback yang memecut laju menuju ke Pasir Mas.

“Penyeludup bertindak agresif untuk melepaskan diri dengan menghimpit kenderaan PGA menyebabkan berlaku pelanggaran kecil, sebelum pemandunya keluar melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” katanya pada sidang media di Markas PGA Taman Bakti, di sini, semalam.

"Pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa 4,000 kain batik dianggarkan bernilai RM140,000 dengan harga pasaran RM35 sehelai dan kesemua kain batik berkenaan diserahkan kepada pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tindakan selanjutnya," katanya

No comments:

Post a Comment