Wednesday, August 4, 2010

Dua sahabat kes ragut dipenjara 7 tahun, sebat

2010/08/05
KOTA BHARU: Dua sahabat dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah merompak beg tangan seorang wanita, tahun lalu.

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh pertama, Muhamed Affandi Mohamed Nor, 30, dan Khairul Anuar Muhammad, 31, masing-masing bekerja sebagai buruh binaan. Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan beg tangan Zalina Mohamed, 26, mengandungi pelbagai barangan berharga termasuk kad pengenalan, wang tunai RM330, seutas gelang tangan emas dan tiga kerongsang. Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan Kedai Emas Hanapi, Jalan Hospital Pasir Mas, pada jam 3.30 petang, 26 September tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.

Terdahulu ketika prosiding, kedua-dua tertuduh merayu dijatuhkan hukuman ringan bermula tarikh mereka ditangkap selain mengaku insaf dengan perbuatan mereka.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencadangkan hukuman berat dikenakan kepada buruh binaan itu kerana kesalahan rompakan itu adalah serius.
"Mohon mahkamah mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius dan sering dilakukan terhadap masyarakat yang memerlukan perlindungan, oleh itu, hukuman setimpal perlu untuk memberikan pengajaran," katanya

No comments:

Post a Comment