IPOH 26 Ogos 2010 - Seorang pelajar perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) di sini diculik seorang lelaki bertelekung yang menceroboh masuk melalui pintu depan rumah sewanya di Taman Cempaka sebelum ditinggalkan di Tambun, kira-kira 45 minit selepas kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 7.30 pagi itu turut mencederakan seorang lagi rakan serumahnya ekoran ditendang dan terkena pisau penculik tersebut.
Katanya, kedua-dua mangsa yang tinggal bersama enam lagi pelajar lain itu berada dalam ketakutan apabila penculik mengugut menggunakan pisau dari dapur rumah.
Tambahnya, suspek kemudian mengarahkan mereka mengumpulkan empat komputer riba dan empat telefon bimbit.
"Ketika kejadian, lima pelajar perempuan sedang tidur di tingkat atas rumah sementara tiga lagi sedang mengulangkaji pelajaran di bawah.
"Penculik tersebut memaksa tiga pelajar yang berada di bawah menyorok di bilik air sebelum dia mendapatkan lima yang lain untuk turun ke bawah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, salah seorang pelajar perempuan tersebut telah dilarikan dengan sebuah kereta Myvi berwarna kelabu oleh penculik berkenaan setelah dia berusaha mendapatkan kad sim telefon bimbitnya kembali.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun ditinggalkan di Tambun pada pukul 8.30 pagi sebelum ditemui oleh orang ramai yang membawanya ke Balai Polis Tambun.
Polis kini menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.
Thursday, August 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment