Sunday, August 29, 2010

Nekad terjun bangunan

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Ogos 2010 - Dua lelaki mangsa culik warga Sri Lanka yang ingin melarikan diri daripada penculik, nekad terjun dalam keadaan berbogel dan tangan bergari dari tingkat dua sebuah rumah flat di Batu Caves dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 7 petang di Kampung Seri Temenggong, kedua-dua mangsa culik itu tidak bernasib baik.

Ini kerana, salah seorang daripadanya mati setelah tersangkut pada palang balkoni, manakala seorang lagi patah kaki kanan.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan mangsa juga warga Sri Lanka berjaya menyelamatkan diri dan menemui pasukan polis yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

Dia tidak mengikut jejak dua rakannya yang terjun bangunan itu kerana difahamkan keluarganya bersetuju membayar wang tebusan esok.

Difahamkan, suspek iaitu dua lelaki tempatan termasuk seorang anggota polis sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields meminta wang tebusan RM500,000 daripada setiap keluarga mangsa.

Ketiga-tiga mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis lalu sebelum diculik dan dikurung dalam sebuah bilik yang dicat dengan warna hitam di rumah tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, seorang penduduk yang tinggal berhampiran ternampak insiden tersebut semalam lalu segera memaklumkan kepada polis.

Sebaik sahaja menerima laporan, sepasukan anggota polis ke tempat kejadian dan berjaya menahan dua suspek berusia 30 dan 32 tahun.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, seorang lelaki warga Sri Lanka yang patah kaki dilihat terbaring berhampiran sebuah van manakala mayat seorang rakannya ditemui dalam kenderaan tersebut.

"Kedua-dua mangsa dalam keadaan bogel dan tangan bergari. Polis kemudian menahan dua lelaki tempatan dipercayai suspek yang menculik mangsa dan merampas dua gari dan sebuah telefon bimbit daripada mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Rosly berkata, pada masa sama, seorang rakan mangsa yang dikurung dalam bilik di tingkat atas, berjaya melepaskan diri dan turun menemui anggota polis dalam keadaan bogel dan tangan masih bergari.

Katanya, pemeriksaan pada telefon bimbit suspek menunjukkan terdapat rekod panggilan antara mereka dengan keluarga mangsa meminta wang tebusan.

"Mangsa yang cedera parah ialah Mohammad Mihiler, 32, kini dirawat di Hospital Selayang manakala identiti dua lagi rakannya sedang dikenal pasti.

"Dua suspek yang ditangkap akan direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 dan 342 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Harun Mat Hajar, 50, berkata, dia baru pulang dari kerja terkejut mendapati sepasukan anggota polis bersama mangsa yang mati dan cedera parah di flat kediamannya.

Harun berkata, dia tidak pernah mendengar mangsa meminta tolong atau melihat perkara mencurigakan berlaku di rumah jirannya itu.

"Saya sempat tanya mangsa yang terselamat dalam kejadian itu tentang apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertemu dengan suspek di KLIA, tiga hari lalu.

"Dia memberitahu mereka telah dibawa ke sebuah hotel dan dilayan baik pada hari pertama namun mula didera dan tidak diberi makan setelah dikurung di rumah tersebut," katanya sambil memberitahu mangsa turut mendakwa penculik meminta wang tebusan RM500,000.

No comments:

Post a Comment