Ogos 31, 10 2:13am
Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes tembakan terhadap anggota exco Pemuda MIC Pusat yang sedang minum bersama rakannya di sebuah kedai kopi di Jalan Datuk Harun di Kajang, dua minggu lalu.
Ketua Polis Kajang ACP Sakaruddin Che Mood berkata ketiga-tiga suspek dalam lingkungan 20-an itu ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kes tersebut.
"Motif sebenar kejadian masih belum diketahui, dan kita masih menyiasat punca sebenar kejadian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Isnin.
Dalam insiden 18 Ogos lepas, A Kalaiarasu, 49, cedera di perut dan tangan kiri setelah ditembak seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup muka penuh serta jaket hitam.
Selepas melepaskan tiga das tembakan, suspek melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal bersama-sama rakannya yang sedang menunggu di luar kedai itu.
Mangsa berjaya melarikan diri melalui pintu belakang kedai dan meminta bantuan dari Balai Polis Kajang yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, sebelum dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.
Sementara itu, polis menahan dua wanita warga Indonesia yang disyaki terlibat dengan aktiviti pemerdagangan manusia di sebuah rumah di Taman Bukit Permai, Kajang pada 28 Ogos lepas.
Sakaruddin berkata kedua-dua wanita berusia 23 dan 31 tahun itu menawarkan khidmat pembantu rumah secara haram melibatkan 12 warga Indonesia dalam lingkungan 14 hingga 42 tahun.
Beliau berkata mangsa pada mulanya diperdaya dengan pendapatan lumayan sebelum mereka bersetuju datang ke Malaysia untuk bekerja.
"Namun, kesemua mangsa ini ditipu dan dipaksa melakukan kerja-kerja rumah tanpa apa-apa bayaran oleh majikan yang menjadi pelanggan kepada dua suspek tersebut," katanya lagi.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati aktiviti itu sudah berlanjutan selama sebulan dan kesemua mangsa dihantar ke sebuah pusat perlindungan di Bukit Ledang dekat sini untuk tujuan pengawasan.
Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyan 15 Akta Pemerdangangan Orang 2007.
Dalam perkembangan lain, polis merampas sejumlah wang palsu bernilai RM1 juta di sebuah rumah yang diduduki tiga pelajar kolej swasta warga Nigeria dalam linkungan 20-an, dalam satu serbuan kira-kira pukul 10 malam, Ahad lepas.
Sakarudin berkata polis menerima laporan daripada seorang warga Nigeria berikutan pergaduhan yang berlaku di antara mereka disebabkan salah faham.
"Polis kemudiannya menyerbu rumah terbabit dan menemui sejumlah wang palsu di dalam dua buah beg berasingan, berserta dengan peralatan membuat wang palsu tersebut seperti alat pengimbas dan botol-botol plastik," katanya.
Beliau berkata siasatan juga mendapati kegiatan percetakan wang palsu itu berlaku sejak dua bulan lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 49(c) Kanun Keseksaan.
--Bernama
Tuesday, August 31, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment