Tuesday, August 31, 2010

Michael Soosai ditahan di Chennai polis India

2010/09/01


Michael SoosaiPolis India jejak penjenayah dikehendaki guna teknologi canggih

CHENNAI: Michael Soosai, penjenayah Malaysia yang melarikan diri ke selatan India sejak beberapa tahun lalu, ditahan di sebuah hotel di sini Khamis lalu, selepas polis India menjejakinya menggunakan teknologi canggih. Pesuruhjaya Polis Bandaraya Coimbatore, C Sylendra Babu, berkata semalam, satu unit khas jenayah siber memantau pergerakan Soosai dengan mengesan nombor telefon bimbitnya kepada kenderaan yang dia naiki. “Dia tidak menyedari kami menjejakinya. Dia terkejut apabila kami menahannya di hotel itu. Dia sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Dia berada di Nepal, Bhopal dan Goa,” katanya.

Polis turut menahan isteri dan tiga anak lelaki terbabit dan merampas satu kilogram (kg) emas, dua komputer riba dan beberapa telefon bimbit dalam operasi mengesan selama tiga bulan.

Soosai bersembunyi daripada polis Malaysia hampir 10 tahun lalu. Dia dikehendaki kerana beberapa siri penipuan yang membabitkan hampir RM1 juta serta satu pembunuhan di selatan India.

Dia didakwa membunuh seorang rakyat Malaysia, N Subramaniam di Cheyyur, daerah Kancipuram pada 2002.
Soosai, 47, pernah memalsukan kematiannya sendiri di Malaysia dan kemudian menghilangkan diri dari polis untuk beberapa tahun, namun terus mencabar polis Malaysia untuk menahannya.

Menurut polis India, Soosai menjalankan aktivitinya di negeri Andra Pradesh, selatan India dan menyelinap masuk ke negeri lain dengan berpura-pura menjanjikan kerja lumayan di luar India kepada mangsanya.

“Dia tinggal di hotel mewah bagi mengelak dikesan pihak polis dan sering memujuk pelanggannya dengan menjanjikan mereka pekerjaan di luar negara, tetapi kemudian hilang bersama wang mereka.

“Selepas selesai menjalankan tugas, dia membuang sim kad telefon bimbit dan kembali semula ke Andra Pradesh,” kata Sylendra mengenai modus operandi Soosai.

Polis India merancang untuk menghantar cap jari suspek yang ditahan itu kepada polis Bukit Aman bagi memastikan sama ada suspek adalah Soosai.

Tiga anak Soosai, iaitu dua anak lelaki berumur 7 dan 3 tahun dan seorang anak perempuan berumur 15 tahun ditahan di sebuah pusat tahanan remaja di Coimbatore. – Bernama

No comments:

Post a Comment