Thursday, August 19, 2010

4 ahli Geng Styer ditahan

KUALA LUMPUR 19 Ogos 2010 – Tidak sampai 24 jam menikmati hasil samun, empat perompak yang dipercayai saki baki ahli kumpulan ‘Styer’ berjaya dicekup pihak polis di sebuah hotel di Petaling Jaya dekat sini, awal pagi semalam.

Kesemua suspek sebelum itu baru sahaja menyamun kira-kira lapan orang awam di sebuah restoran makanan segera 24 jam di Seksyen 13, Shah Alam.

Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berjaya menahan suspek yang berusia antara 24 hingga 29 tahun itu kira-kira pukul 1 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, suspek yang sebelum itu melakukan samun dipercayai telah melarikan diri dan bersembunyi di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Beliau berkata, atas maklumat dan risikan, pihaknya menyerbu hotel tersebut dan berjaya menahan kesemua suspek serta sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai digunakan untuk menyamun.

“Kita percaya kesemua mereka mempunyai hubungan dengan dua penjenayah kumpulan Styer yang ditembak mati di Kampung Orkid, Subang pada Julai lalu.

“Polis turut merampas kereta jenis Proton Waja, pelbagai barangan elektrik termasuk komputer riba dan telefon bimbit selain wang tunai serta kad ATM dipercayai milik mangsa yang disamun.

“Hasil siasatan turut mendapati kereta Proton Waja yang digunakan merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang pada 10 Ogos lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada 22 Julai lalu, polis menembak mati dua penjenayah yang cuba menyamun sebuah banglo milik seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Orkid, Kampung Melayu Subang.

Kedua-dua suspek itu dikatakan merancang memecah masuk ke rumah berkenaan namun tidak sempat berbuat demikian apabila menyedari kehadiran anggota polis

No comments:

Post a Comment