Tuesday, August 17, 2010

Sabah & Sarawak: Tangkapan kes dadah meningkat 20 peratus

2010/08/18
KUCHING: Jumlah tangkapan kes dadah di negeri ini untuk tempoh Januari hingga 15 Ogos tahun ini meningkat hampir 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 2,529 kes dicatatkan berbanding 2,108 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala tangkapan pula meningkat 17 peratus iaitu sebanyak 2,727 berbanding 2,317 tahun lalu.

Peningkatan tertinggi iaitu lebih 200 peratus dicatatkan dalam kes mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati apabila 32 kes dicatatkan daripada 53 tangkapan. Tahun lalu, sebanyak 10 kes dicatatkan daripada 14 tangkapan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Superintendan Moses Agat, berkata, bagi Seksyen 12 (2) ABD 1952, seramai 511 orang ditangkap dengan 399 kes dicatatkan sepanjang antara Januari hingga Ogos tahun ini dan jumlah itu juga menurun berbanding 449 orang yang ditahan dengan 315 dalam tempoh sama tahun lalu.
Turut mencatatkan penurunan, kes mengikut Seksyen 6B, apabila hanya satu tangkapan dan satu kes dicatatkan berbanding dua tangkapan dan satu kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Peningkatan kes dicatatkan dalam Seksyen 6 akta itu yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan tiga sebatan apabila sebanyak 46 kes dicatatkan berbanding 34 tahun lalu. Jumlah tangkapan bagi seksyen berkenaan ialah seramai 59 orang berbanding 61 tahun lalu.

"Bagi Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 pula, peningkatan sebanyak 12 peratus dicatatkan apabila sebanyak 1,755 kes dan 1,554 tangkapan dilakukan. Tahun lalu sebanyak 1,554 kes dan tangkapan dilakukan," katanya di sini.
Moses berkata, peningkatan ketara dicatatkan dalam rampasan dadah jenis ganja sepanjang Januari hingga 15 Ogos tahun ini apabila sebanyak 9.6 kilogram berjaya dirampas berbanding hanya 1.4 kilogram dirampas tahun lalu.

Peningkatan turut dicatatkan dalam rampasan dadah jenis syabu iaitu sebanyak 3.6 kilogram berbanding 537.72 gram tahun lalu, manakala rampasan ketamin pula meningkat lebih 500 peratus apabila sebanyak 1.1 kilogram dirampas berbanding hanya 172.03 gram tahun lalu.

Operasi berterusan pihak polis turut merampas 21,108 pil nospan dan jumlah itu meningkat lebih 300 peratus berbanding hanya 4,623 biji yang dirampas dalam tempoh lapan bulan tahun lalu. Bagaimanapun penurunan dicatatkan dalam rampasan pil psikotropik apabila 10,612 biji dirampas berbanding 63,101 biji yang dirampas tahun lalu.

Sementara itu, nilai harta benda yang dirampas turut meningkat apabila RM3.6 juta dicatatkan berbanding hanya RM1.04 juta tahun lalu. Daripada jumlah itu sebanyak RM32,357 wang tunai dirampas sepanjang Januari hingga 15 Ogos tahun ini, barang kemas (RM42,657), pembekuan akaun dan saham (RM97,572.68) kenderaan sebanyak 28 unit (RM1.17 juta), rumah (RM2.2 juta) dan tanah (RM59,200).

No comments:

Post a Comment