Thursday, October 28, 2010

Penoreh maut selepas 9 hari dipaksa minum racun

2010/10/29
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 27 tahun dari Marang yang dipercayai dipaksa minum racun oleh keluarga teman wanitanya meninggal dunia jam 7.30 pagi semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, selepas sembilan hari bersabung nyawa.

Mangsa, Muda Mohd yang bekerja sebagai penoreh getah dikatakan dipaksa empat lelaki yang ada talian persaudaraan dengan teman wanitanya berusia 16 tahun meminum racun kerana tidak berpuas hati lelaki itu menjalin hubungan dengan gadis berkenaan. Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata mangsa meninggal dunia selepas alami komplikasi malam kelmarin. “Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi tadi (semalam) akibat komplikasi dalaman selepas dipercayai dipaksa minum racun berkenaan. Bagaimanapun kita masih menyiasat jenis racun yang digunakan suspek," katanya.

Beliau berkata, polis sempat merakamkan keterangan mangsa selepas sedar daripada koma Ahad lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan polis turut menahan tiga lelaki berusia 17, 39 dan 45 tahun di Kampung Gondang, Marang pada 19 dan 20 Oktober lalu.

“Ketiga-tiga suspek iaitu abang, bapa saudara dan bapa tiri gadis berkenaan dilanjutkan tahanan reman sejak kelmarin, manakala polis sedang memburu dua lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam kes ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Manoharan berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian kerana keluarga gadis berkenaan tidak merestui mangsa berkawan dengan teman wanitanya.
Dalam kejadian pada 19 Oktober lalu, Muda dikatakan dipaksa minum racun oleh keluarga teman wanitanya sebelum mengadu sakit perut dan rebah di dapur rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 1 petang dan dikejarkan ke HSNZ.

Wednesday, October 27, 2010

DiGi tidak tahu kandungan SMS pelanggan

KUALA TERENGGANU 27 Okt. 2010 - Seorang pegawai DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa syarikat tersebut tidak mengetahui isi kandungan sesuatu khidmat pesanan ringkas (SMS) pelanggannya.

Ketua Bahagian Siasatan dan Pemeriksaan DiGi, Mohd. Faiz Ong Abdullah memberitahu, ini kerana setiap isi kandungan SMS tersebut hanya disimpan selama tujuh hari sebelum dihapuskan.

Beliau menyatakan demikian semasa disoal oleh peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berhubung rekod kegunaan telefon anak guamnya itu antara 13 dan 21 April tahun lalu.

Ahmad Ramzi dibicarakan atas tiga tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) pada tahun lalu.

Sementara itu, pemilik akaun aplikasi SMS yang digunakan untuk menghantar pesanan berbaur ugutan itu, Nor Irwan Zainal Abidin, 32, memberitahu, dia tidak menghantar dua SMS kempen Majlis Tertinggi UMNO yang terdapat dalam telefon Ahmad Ramzi.

Dia turut menafikan telah menggunakan akaun aplikasi SMS miliknya untuk menghantar dua pesanan daripada 'Pejuang UMNO' bertajuk 'Wahai para perwakilan yang budiman' dan 'ada yang bakar jambatan dan tak suka K'.

Nor Irwan bagaimanapun bersetuju kedua-dua SMS berkenaan dihantar menggunakan aplikasi yang sama.

Semalam, beliau memberitahu mahkamah akaun yang digunakan untuk menghantar SMS berbaur ugutan itu didaftarkan di bawah namanya selepas diminta berbuat demikian oleh Ahmad Ramzi.

Ahmad Ramzi didakwa menghantar ugutan jenayah menerusi SMS dengan mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd. Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit, dekat sini.

Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi ADUN, Abd. Halim Jusoh (Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dia juga didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan Internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga ADUN tersebut.

Selain itu, Ahmad Ramzi dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff dan Nur Azimul Azami.

Perbicaraan di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid bersambung 9 November ini.

Peniaga dihukum gantung

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my.



OMAR Shaari diiringi polis keluar dari mahkamah selepas hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati di Georgetown, di sini semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 27 Okt. - Seorang peniaga kedai makanan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh jiran yang mayat wanita itu ditemui hampir reput di kawasan belukar, empat tahun lalu.

Ketika Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman tersebut, raut wajah Omar Shaari, 49, yang bertubuh sederhana dan tinggi lampai itu, langsung tidak menunjukkan kesedihan.

Tertuduh itu pada mulanya mendengar penghakiman tersebut dengan teliti sebelum dilihat berpusing memandang abang, isteri dan anaknya yang berada di galeri awam sambil mengangkat bahunya beberapa kali dan tersenyum lebar ketika hukuman dijatuhkan.

"Nasiblah,'' katanya beberapa kali sejurus prosiding selesai.

Isteri tertuduh pengsan ketika cuba berjalan ke arah suaminya itu. Omar kemudiannya dilihat mengusap-usap isterinya itu dan duduk berhampirannya sehingga pulih lima minit kemudian dengan bantuan beberapa anggota polis dan kakitangan mahkamah.

Omar yang berniaga nasi tomato di Taman Tun Sardon telah mengenali Faridah Mohd. Sharif, 46, selama 40 tahun didakwa membunuh mangsa antara pukul 11 pagi dan 2 petang, 12 September 2006, di rumah No. 307-1, Jalan Datuk Keramat di sini.

Dia yang berasal dari Perak dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, dalam penghakiman bertulisnya yang dibacakan hampir sejam bermula 9.30 pagi, Hakim Abdul Halim berkata, Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Menurut beliau, pembelaan tertuduh, bersifat penafian semata-mata tanpa sebarang bukti atau faktor yang boleh diambil kira bagi memberi manfaat kepadanya, selain mereka-reka cerita.

Hakim itu berkata, tertuduh juga cuba mengalihkan beban yang ditanggungnya dengan mengatakan kononnya Faridah telah dibunuh oleh pembantunya, Farouk Khan, 25, seorang rakyat Myanmar dan ia tidak boleh diterima akal.

"Untuk mengangkat mayat mangsa sejauh itu, dia sudah tentu memerlukan kereta dan di sini peranan sebenar tertuduh muncul. Tertuduh merupakan dalang dan Farouk Khan hanya bertindak sebagai pembantu.

"Ini jelas daripada keterangan saksi pendakwaan sebelum ini yang telah melihat sebuah kereta Proton Iswara diletakkan di hadapan rumah tertuduh ketika hari kejadian,'' kata beliau.

Menurut hakim, keterangan kedua-dua isteri tertuduh yang dibawa sebagai saksi pembelaan juga tidak langsung mencacatkan atau menggugat keterangan saksi-saksi utama pendakwaan.

Jelasnya, mereka berdua hanya memberikan penjelasan bagi membuktikan suami mereka itu tidak mempunyai masalah kewangan dan mempunyai simpanan hasil keuntungan berniaga setiap hari.

"Tetapi ingin saya ingatkan bahawa jenayah tidak mengira sama ada orang itu susah atau senang. Motifnya hanya tertuduh sahaja yang tahu dan mahkamah menyimpulkan ia hanya untuk mendapatkan barang kemas. Jelas perbuatan kamu membunuh mangsa yang telah dikenali sejak kecil amat tidak berperikemanusiaan.

"Saya harap kamu insaf dan bertaubat atas apa dilakukan. Justeru, hanya terdapat satu hukuman yang diperuntukkan untuk kamu bagi kesalahan ini. Kamu saya perintahkan dihukum gantung sampai mati,'' kata Abdul Halim.

Salah seorang adik mangsa, Zaharah Mohd. Shariff, 48, yang duduk di galeri awam dilihat gagal menahan tangisannya dan berlari keluar. Dia sebelum itu dilihat menangis teresak-esak sambil menutup muka menggunakan tudung yang dipakainya.

Ketika berada di luar mahkamah, Zaharah dilihat memeluk adiknya, Sarinah, 39, dan anak mangsa, Zanariah Razali, 29.

"Syukur kepada Tuhan. Setelah empat tahun, akhirnya kematian Faridah mendapat pembelaan,'' katanya.

Kena simbah cuka akibat tolak cinta

2010/10/28


KEADAAN Ain yang melecur 70 peratus di bahagian muka, tangan dan badan, di bilik rawatan Hospital Pulau Pinang. GEORGETOWN: Akibat cinta tidak berbalas, seorang lelaki menyimbah cuka getah ke muka bekas rakan sekerjanya bagi membalas dendam di depan rumah nenek wanita itu di Taman Cenderwasih, Seberang Prai Selatan, baru-baru ini.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Ain, 21, melecur 70 peratus di bahagian muka, tangan dan badan, masih dirawat di Hospital Pulau Pinang. Mangsa merancang mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya selepas sambutan Aidiladha bulan depan, buntu memikirkan masa depannya berikutan kecederaan dialaminya. Ain berkata, beliau tidak menyangka lelaki itu sanggup menyimbah asid kerana mahu membalas dendam akibat cinta tidak berbalas.

“Saya kecewa dengan perbuatannya dan berharap dia dikenakan tindakan sewajarnya, setimpal dengan kesalahan yang dilakukan," katanya.

Mengimbau kejadian itu, Ain berkata, kejadian berlaku jam 11 malam pada 17 Oktober lalu di depan rumah neneknya ketika beliau bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah.

Katanya, ketika tiba di depan pagar rumah, beliau dihampiri motosikal suspek sebelum disimbah cuka getah ke muka sambil suspek mengejek ‘padan muka hang’ dan berlalu pergi.
"Saya tersentak dengan muka dan badan menjadi sejuk seketika sebelum bertukar panas dan seluruh kulit bertukar menjadi hitam dan terbakar dan membengkak. Suasana ketika itu sukar digambarkan kerana kesakitan yang amat sangat. Saya berlari ke rumah untuk meminta bantuan," katanya.

Katanya, beliau dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata suspek yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan pada 20 Oktober lalu di rumahnya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana cintanya tidak berbalas.

Rakyat Malaysia ditahan seludup peledak bom

KUALA LUMPUR 27 Okt. 2010 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang warganegara ini telah ditahan polis Republik Indonesia kerana cuba menyeludup masuk kira-kira 7,000 unit peledak bom.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, siasatan mendapati bahan peledak buatan India itu dibawa masuk oleh suspek dari Selatan Filipina ke Tawau, Sabah.

Katanya, suspek kemudian menyeludupnya ke Sulawesi Selatan melalui Nunukan dengan menggunakan feri penumpang.

Beliau ketika dihubungi memberitahu, pihaknya masih menunggu laporan penuh siasatan kes berkenaan bagi mengetahui jenis peledak berkenaan.

"Setakat ini, pihak polis Indonesia masih menjalankan siasatan. Oleh itu, kita masih belum dimaklumkan tujuan dan jenis peledak yang diseludup masuk itu," katanya.

Ditanya sama ada suspek yang menyeludup bahan itu terlibat dalam aktiviti militan di negara berkenaan, Hussin berkata, ia masih dalam siasatan pihak polis Indonesia.

Katanya, PDRM sentiasa bekerjasama dengan polis Indonesia bagi membendung aktiviti militan dan hal-hal keselamatan kedua-dua negara.

Sebuah agensi berita asing hari ini dipetik sebagai berkata, Mohd. Nawawi Malong ditahan di Pelabuhan Parepare, Sulawesi Selatan, Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Bahagian Perhubungan Awam di Ibu Pejabat Polis Kebangsaan, Inspektor Iskandar Hasan, pihaknya sedang meneruskan siasatan kes. Suspek kini disoal siasat di bawah Perkara 1 Undang-Undang Darurat.

Iskandar berkata, tindakan menyeludup peledak itu menyalahi undang-undang walaupun ia hanya digunakan sebagai bom ikan.

"Kami sedang menyiasat sama ada ia ada kaitan dengan keganasan kerana pada 2000, saya pernah menemui peledak yang sama digunakan dalam aktiviti keganasan di Medan," katanya.

Tuesday, October 26, 2010

Lelaki tikam 32 kali dipenjara 20 tahun

2010/10/27


RAHIM dikawal anggota polis dibawa keluar selepas dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam.KOTA BHARU: Seorang pemuda dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi semalam, selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang wanita dengan menikamnya sebanyak 32 kali di Kampung Pantai Senok, Tawang, Bachok, empat tahun lalu.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja kampung, Rahim Ngah, 33, selepas pihak pendakwa meminda tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama. Tertuduh dituduh dengan niat mencederakan Norazlina Awang, 31, sehingga menyebabkan kematiannya di sebuah rumah bernombor 1003, Kampung Pantai Senok, Tawang, Bachok, antara jam 8 hingga 9 pagi, pada 14 September 2006. Dalam penghakimannya, Ahmad Zaidi berkata, perbuatan yang dilakukan tertuduh berat kerana menyebabkan kematian selain mengambil kira serangan yang dilakukan terhadap mangsa dahsyat serta kejam.

“Mangsa ditikam sebanyak 32 kali dan saya tidak boleh bayangkan seksanya mangsa meninggal dunia dan sepanjang kerjaya saya sebagai hakim, ini adalah kes jenayah paling kejam pernah saya hakimi.

“Mangsa seorang perempuan yang tidak boleh mempertahankan diri dan lebih menyayat hati ia dilakukan di depan anak mangsa yang ketika itu berusia hampir setahun. Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum 20 tahun dari tarikh ditangkap dan kamu (tertuduh) bernasib baik tidak menerima hukuman gantung sampai mati selepas hukuman dipinda ke hukuman membunuh tanpa niat,” katanya.

Dalam prosiding semalam, pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anwar Wahab, manakala D Dorairaj mewakili tertuduh.
Sebelum itu, Dorairaj dalam rayuannya meminta supaya diberi pertimbangan terhadap hukuman yang dikenakan dan anak guamnya bersedia menerima hukuman dari tarikh ditangkap.

Khairul Anwar membantah permohonan dengan meminta supaya mahkamah memberikan hukuman yang mencerminkan pihak kehakiman mengambil berat perbuatan itu

Monday, October 25, 2010

Polis yakin dapat selesai 30 kes pecah rumah

2010/10/26
AMPANG: Polis yakin dapat menyelesaikan 30 kes pecah rumah sekitar Ampang yang berlaku sepanjang tahun ini, selepas berjaya menumpaskan Geng Pick-Up dengan menahan lima ahli kumpulan termasuk dua wanita masing-masing rakyat tempatan dan warga Thailand, tiga hari lalu.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik premis memaklumkan melihat kelibat seseorang di dalam pejabatnya dalam kejadian di Ampang Hilir di sini. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menahan seorang lelaki ketika bersembunyi di dalam pejabat itu.
“Hasil soal siasat terhadap suspek selama dua hari, polis menyerbu rumah sewa yang turut didiami empat lagi rakannya berusia dalam lingkungan 23 hingga 43 tahun di Taman Pandan Ria di sini, kira-kira jam 4 pagi.

“Polis merampas enam komputer riba, wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan jalur lebar selain peralatan pertukangan digunakan untuk mengumpil pintu rumah termasuk kunci pendua dan sebilah parang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, semalam.

Abd Jalil berkata, siasatan awal mendapati mereka mengakui sudah melakukan lebih 30 kes pecah rumah sekitar Ampang sepanjang tahun ini dengan anggaran barangan yang dirampas bernilai RM50,000.

Katanya, suspek mempunyai lima rekod lampau dan mereka aktif melakukan kerja pecah rumah pada siang hari ketika pemilik rumah keluar bekerja.
Semua yang ditahan direman selama tujuh hari sehingga 29 Oktober ini dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan