Tuesday, August 31, 2010

Dadah: 7 gadis Malaysia berjaya diselamatkan

PESHAWAR 31 Ogos 2010 - Tujuh gadis 'keldai dadahg' dari Malaysia yang nyaris ditahan pihak berkuasa di Karachi, Pakistan kerana menyeludup bahan larangan tersebut telah dihantar pulang ke tanah air.

Mangsa terbaru diperdaya warga Afrika di Kuala Lumpur itu termasuklah anak anggota polis yang berjaya diselamatkan Konsul Malaysia di sini pada April lalu.

Bilangan mangsa itu membuktikan masih ada gadis dan wanita Malaysia terperangkap dengan sindiket pengedaran dadah warga asing tersebut.

Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Mohd. Khalid Abassi Abdul Razak berkata, kebanyakan mangsa hanya menyedari ditipu dan digunakan sebagai 'keldai dadah' sebaik sahaja berada di negara ini.

Katanya, setelah menyedari ditipu, mereka meminta bantuan kakitangan konsul Malaysia daripada ditahan pihak berkuasa Pakistan.

"Anak-anak gadis itu bernasib baik kerana tidak ditahan oleh pihak berkuasa di sini kerana mereka meminta bantuan pejabat konsul kita.

"Kebanyakan mereka terpedaya dengan upah lumayan mencecah RM10,000 setiap kali berjaya menyeludup kira-kira satu kilogram heroin.

"Pengedar pula mampu mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit daripada kegiatan tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khalid, setiap mangsa menghadapi risiko kematian apabila mereka hanya diberikan makan kacang sebelum diminta menelan bungkusan heroin yang diisi dalam kondom bagi mengelak dikesan.

Beliau mencadangkan pihak berkuasa di Malaysia supaya menjalankan semakan status gadis-gadis tempatan di pintu keluar lapangan terbang sebelum dibenarkan keluar negara.

"Kita mesti menyemak tujuan mereka ke destinasi luar negara sama ada belajar atau melancong bagi mengelakkan daripada dijadikan keldai dadah," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan memastikan anak-anak mereka tidak terpedaya dengan ganjaran lumayan pihak-pihak terlibat. - Utusan

3 Suspek tembak exco Pemuda MIC ditahan

Ogos 31, 10 2:13am

Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes tembakan terhadap anggota exco Pemuda MIC Pusat yang sedang minum bersama rakannya di sebuah kedai kopi di Jalan Datuk Harun di Kajang, dua minggu lalu.

Ketua Polis Kajang ACP Sakaruddin Che Mood berkata ketiga-tiga suspek dalam lingkungan 20-an itu ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kes tersebut.

"Motif sebenar kejadian masih belum diketahui, dan kita masih menyiasat punca sebenar kejadian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Isnin.

Dalam insiden 18 Ogos lepas, A Kalaiarasu, 49, cedera di perut dan tangan kiri setelah ditembak seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup muka penuh serta jaket hitam.

Selepas melepaskan tiga das tembakan, suspek melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal bersama-sama rakannya yang sedang menunggu di luar kedai itu.

Mangsa berjaya melarikan diri melalui pintu belakang kedai dan meminta bantuan dari Balai Polis Kajang yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, sebelum dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.

Sementara itu, polis menahan dua wanita warga Indonesia yang disyaki terlibat dengan aktiviti pemerdagangan manusia di sebuah rumah di Taman Bukit Permai, Kajang pada 28 Ogos lepas.

Sakaruddin berkata kedua-dua wanita berusia 23 dan 31 tahun itu menawarkan khidmat pembantu rumah secara haram melibatkan 12 warga Indonesia dalam lingkungan 14 hingga 42 tahun.

Beliau berkata mangsa pada mulanya diperdaya dengan pendapatan lumayan sebelum mereka bersetuju datang ke Malaysia untuk bekerja.

"Namun, kesemua mangsa ini ditipu dan dipaksa melakukan kerja-kerja rumah tanpa apa-apa bayaran oleh majikan yang menjadi pelanggan kepada dua suspek tersebut," katanya lagi.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati aktiviti itu sudah berlanjutan selama sebulan dan kesemua mangsa dihantar ke sebuah pusat perlindungan di Bukit Ledang dekat sini untuk tujuan pengawasan.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyan 15 Akta Pemerdangangan Orang 2007.

Dalam perkembangan lain, polis merampas sejumlah wang palsu bernilai RM1 juta di sebuah rumah yang diduduki tiga pelajar kolej swasta warga Nigeria dalam linkungan 20-an, dalam satu serbuan kira-kira pukul 10 malam, Ahad lepas.


Sakarudin berkata polis menerima laporan daripada seorang warga Nigeria berikutan pergaduhan yang berlaku di antara mereka disebabkan salah faham.

"Polis kemudiannya menyerbu rumah terbabit dan menemui sejumlah wang palsu di dalam dua buah beg berasingan, berserta dengan peralatan membuat wang palsu tersebut seperti alat pengimbas dan botol-botol plastik," katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati kegiatan percetakan wang palsu itu berlaku sejak dua bulan lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 49(c) Kanun Keseksaan.

--Bernama

Pelajar parah ditikam penyamun

2010/09/01
AMPANG: Seorang pelajar lelaki cedera parah di leher manakala mukanya lebam apabila ditikam menggunakan objek tajam dalam kejadian samun di Jalan Bunga Tanjung 9, Taman Muda di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 18 tahun ditemui orang awam sedang merangkak keluar dari sebuah kedai dalam keadaan lehernya berlumuran darah sebelum menghubungi polis. Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, polis yang tiba di tempat kejadian kemudian membawa mangsa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan susulan. “Kita masih menyiasat kes ini selain perlu menemubual mangsa bagi mendapatkan kisah sebenar. Bagaimanapun perlu menunggu dia sembuh sepenuhnya,” katanya.

“Siasatan awal mendapati premis kedai itu tidak menyediakan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) sekali gus menyukarkan proses siasatan. Hanya mangsa yang boleh membantu dalam menyelesaikan kes ini, ” katanya di sini, semalam.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil memberikan maklumat bagi membantu polis menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, mangsa dilaporkan stabil tetapi enggan bercakap apabila ditanya mungkin masih trauma dengan kejadian dialaminya itu

Michael Soosai ditahan di Chennai polis India

2010/09/01


Michael SoosaiPolis India jejak penjenayah dikehendaki guna teknologi canggih

CHENNAI: Michael Soosai, penjenayah Malaysia yang melarikan diri ke selatan India sejak beberapa tahun lalu, ditahan di sebuah hotel di sini Khamis lalu, selepas polis India menjejakinya menggunakan teknologi canggih. Pesuruhjaya Polis Bandaraya Coimbatore, C Sylendra Babu, berkata semalam, satu unit khas jenayah siber memantau pergerakan Soosai dengan mengesan nombor telefon bimbitnya kepada kenderaan yang dia naiki. “Dia tidak menyedari kami menjejakinya. Dia terkejut apabila kami menahannya di hotel itu. Dia sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Dia berada di Nepal, Bhopal dan Goa,” katanya.

Polis turut menahan isteri dan tiga anak lelaki terbabit dan merampas satu kilogram (kg) emas, dua komputer riba dan beberapa telefon bimbit dalam operasi mengesan selama tiga bulan.

Soosai bersembunyi daripada polis Malaysia hampir 10 tahun lalu. Dia dikehendaki kerana beberapa siri penipuan yang membabitkan hampir RM1 juta serta satu pembunuhan di selatan India.

Dia didakwa membunuh seorang rakyat Malaysia, N Subramaniam di Cheyyur, daerah Kancipuram pada 2002.
Soosai, 47, pernah memalsukan kematiannya sendiri di Malaysia dan kemudian menghilangkan diri dari polis untuk beberapa tahun, namun terus mencabar polis Malaysia untuk menahannya.

Menurut polis India, Soosai menjalankan aktivitinya di negeri Andra Pradesh, selatan India dan menyelinap masuk ke negeri lain dengan berpura-pura menjanjikan kerja lumayan di luar India kepada mangsanya.

“Dia tinggal di hotel mewah bagi mengelak dikesan pihak polis dan sering memujuk pelanggannya dengan menjanjikan mereka pekerjaan di luar negara, tetapi kemudian hilang bersama wang mereka.

“Selepas selesai menjalankan tugas, dia membuang sim kad telefon bimbit dan kembali semula ke Andra Pradesh,” kata Sylendra mengenai modus operandi Soosai.

Polis India merancang untuk menghantar cap jari suspek yang ditahan itu kepada polis Bukit Aman bagi memastikan sama ada suspek adalah Soosai.

Tiga anak Soosai, iaitu dua anak lelaki berumur 7 dan 3 tahun dan seorang anak perempuan berumur 15 tahun ditahan di sebuah pusat tahanan remaja di Coimbatore. – Bernama

Monday, August 30, 2010

Kes pertama berjaya didakwa bawah Akta Pemerdagangan Orang: Imigresen

2010/08/30
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen buat pertama kalinya berjaya mensabitkan kesalahan di bawah Akta Pemerdagangan Orang apabila seorang lelaki bersama tiga anaknya dijatuhkan hukuman penjara kerana bersalah memperdagangkan 12 warga Myanmar.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata lelaki berkenaan dijatuhkan hukuman lima tahun penjara di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Permerdagangan Orang selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Baharu, Kelantan, semalam. "Dua anak lelaki dan seorang anak perempuannya pula dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara di bawah seksyen dan akta yang sama. Mereka didapati bersalah memperdagangkan tujuh lelaki, dua wanita dan tiga kanak-kanak," katanya di sini, hari ini. Abdul Rahman berkata, dengan kejayaan itu, beliau berharap selepas ini lebih banyak kes akan dapat dibawa ke mahkamah di bawah akta tersebut.

Sunday, August 29, 2010

Penyeludup makin berani

2010/08/30
RANTAU PANJANG: Penyeludup di kawasan sempadan kini bertindak agresif terhadap pasukan keselamatan dengan memandu kenderaan mereka dengan laju sehingga melanggar kenderaan pasukan keselamatan dalam usaha meloloskan diri dari ditahan.

Kejadian ganas itu berlaku ketika Pasukan Gerakan Am (PGA) cuba menahan dua kenderaan yang digunakan untuk menyeludup kain batik dari Thailand, berdekatan Jalan Banggol Stol, dekat sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 7 malam itu, sebuah daripada dua buah kereta yang digunakan untuk tujuan menyeludup itu rosak teruk pada bahagian tepi penumpang selepas melanggar kenderaan PGA dalam cubaan melepaskan diri. Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Rooslan Radzi, berkata pasukannya membuat pemantauan berhampiran pangkalan haram Jitong, Bukit Lata dan mengesan kereta Proton Wira serta Proton Wira Aeroback yang memecut laju menuju ke Pasir Mas.

“Penyeludup bertindak agresif untuk melepaskan diri dengan menghimpit kenderaan PGA menyebabkan berlaku pelanggaran kecil, sebelum pemandunya keluar melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” katanya pada sidang media di Markas PGA Taman Bakti, di sini, semalam.

"Pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa 4,000 kain batik dianggarkan bernilai RM140,000 dengan harga pasaran RM35 sehelai dan kesemua kain batik berkenaan diserahkan kepada pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tindakan selanjutnya," katanya

Nekad terjun bangunan

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Ogos 2010 - Dua lelaki mangsa culik warga Sri Lanka yang ingin melarikan diri daripada penculik, nekad terjun dalam keadaan berbogel dan tangan bergari dari tingkat dua sebuah rumah flat di Batu Caves dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 7 petang di Kampung Seri Temenggong, kedua-dua mangsa culik itu tidak bernasib baik.

Ini kerana, salah seorang daripadanya mati setelah tersangkut pada palang balkoni, manakala seorang lagi patah kaki kanan.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan mangsa juga warga Sri Lanka berjaya menyelamatkan diri dan menemui pasukan polis yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

Dia tidak mengikut jejak dua rakannya yang terjun bangunan itu kerana difahamkan keluarganya bersetuju membayar wang tebusan esok.

Difahamkan, suspek iaitu dua lelaki tempatan termasuk seorang anggota polis sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields meminta wang tebusan RM500,000 daripada setiap keluarga mangsa.

Ketiga-tiga mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis lalu sebelum diculik dan dikurung dalam sebuah bilik yang dicat dengan warna hitam di rumah tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, seorang penduduk yang tinggal berhampiran ternampak insiden tersebut semalam lalu segera memaklumkan kepada polis.

Sebaik sahaja menerima laporan, sepasukan anggota polis ke tempat kejadian dan berjaya menahan dua suspek berusia 30 dan 32 tahun.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, seorang lelaki warga Sri Lanka yang patah kaki dilihat terbaring berhampiran sebuah van manakala mayat seorang rakannya ditemui dalam kenderaan tersebut.

"Kedua-dua mangsa dalam keadaan bogel dan tangan bergari. Polis kemudian menahan dua lelaki tempatan dipercayai suspek yang menculik mangsa dan merampas dua gari dan sebuah telefon bimbit daripada mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Rosly berkata, pada masa sama, seorang rakan mangsa yang dikurung dalam bilik di tingkat atas, berjaya melepaskan diri dan turun menemui anggota polis dalam keadaan bogel dan tangan masih bergari.

Katanya, pemeriksaan pada telefon bimbit suspek menunjukkan terdapat rekod panggilan antara mereka dengan keluarga mangsa meminta wang tebusan.

"Mangsa yang cedera parah ialah Mohammad Mihiler, 32, kini dirawat di Hospital Selayang manakala identiti dua lagi rakannya sedang dikenal pasti.

"Dua suspek yang ditangkap akan direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 dan 342 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Harun Mat Hajar, 50, berkata, dia baru pulang dari kerja terkejut mendapati sepasukan anggota polis bersama mangsa yang mati dan cedera parah di flat kediamannya.

Harun berkata, dia tidak pernah mendengar mangsa meminta tolong atau melihat perkara mencurigakan berlaku di rumah jirannya itu.

"Saya sempat tanya mangsa yang terselamat dalam kejadian itu tentang apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertemu dengan suspek di KLIA, tiga hari lalu.

"Dia memberitahu mereka telah dibawa ke sebuah hotel dan dilayan baik pada hari pertama namun mula didera dan tidak diberi makan setelah dikurung di rumah tersebut," katanya sambil memberitahu mangsa turut mendakwa penculik meminta wang tebusan RM500,000.