Tuesday, April 19, 2011

Sindiket samun guna teksi tumpas

Sindiket samun guna teksi tumpas
PETALING JAYA 18 April – Polis menumpaskan satu sindiket samun kargo muatan barangan elektrik bernilai jutaan ringgit setelah menahan lapan lelaki di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Hutan Melintang, Perak, baru-baru ini.

Kesemua penjenayah yang berusia lingkungan 25 hingga 33 tahun itu ditahan pada 8 April lalu dan dipercayai terlibat dalam lima daripada lapan kes samun kargo yang dilaporkan kepada polis di negeri ini sejak tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, operasi memburu ahli sindiket itu dilakukan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian samun kargo muatan elektrik di Subang Jaya pada 25 Mac lalu.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan dua buah teksi untuk menghalang laluan treler berkenaan sebelum melarikan kenderaan berat tersebut.

“Penjenayah turut menggunakan senjata api untuk menakutkan pemandu dan kelindannya, sebelum mengikat serta meninggalkan mereka di tepi jalan.

“Berikutan penahanan lapan suspek itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM31,000 serta tiga buah teksi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini hari ini.

Tambahnya, turut ditemui, dua buah televisyen skrin paparan cecair kristal (LCD), satu set peralatan teater rumah, dua pucuk pistol tiruan dan lapan unit telefon bimbit.

Katanya, siasatan awal polis mendapati, daripada lima kes yang dilakukan sindiket itu, dua daripadanya berlaku di Jinjang manakala dua lagi di Shah Alam dan satu di Subang Jaya.

Tun Hisan memberitahu, polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan iaitu G. Elango, 29, beralamat di Balakong, Seri Kembangan dan G. Kesavan, 23, berasal dari Klang.

Lelaki warga Bangladesh cedera disamun

Lelaki warga Bangladesh cedera disamun
19/04/2011 8:03pm


MELAKA 19 April – Seorang lelaki warga Bangladesh cedera di perut akibat ditoreh dengan senjata tajam oleh dua lelaki yang menyamunnya selepas baru sahaja mengeluarkan wang RM300 dari sebuah bank di Jambatan Stesen Bas Lama, di Jalan Kilang, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 pagi itu, suspek yang dalam keadaan berlumuran darah terpaksa berlari untuk mendapatkan pertolongan orang ramai.

Seorang saksi, Munajat Talib, 52, memberitahu, dia tidak menyangka jeritan suara mangsa yang disangkakan gurauan rupa-rupanya adalah mangsa samun.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang duduk berehat di tepi Sungai Melaka dan terkejut melihat seorang lelaki berlari ke arahnya berlumuran darah.

“Dalam keadaan cemas itu, saya dan seorang lagi orang awam sempat membantu mangsa balut luka dan menelefon ambulans.

“Mangsa memaklumkan menjadi mangsa samun dua lelaki di atas jambatan selepas mengeluarkan wang RM300,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. - Utusan

Graduan tikam kekasih kekal dipenjara

Graduan tikam kekasih kekal dipenjara
PUTRAJAYA 18 April - Seorang graduan sebuah universiti tempatan kekal dipenjara empat tahun setelah Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya atas kesalahan menghalang bayi berusia lapan bulan yang dikandung oleh teman wanitanya daripada dilahirkan dengan cara menikam perut mangsa menggunakan pisau.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff sebulat suara menolak rayuan akhirnya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 10 September 2009.

Ekoran keputusan yang turut dicapai oleh Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Azhar Ma'ah itu, lelaki terbabit yang kini berusia 23 tahun terlepas peluang menghadiri upacara konvokesyennya yang dijadualkan berlangsung beberapa bulan lagi.

Pemuda itu yang ketika kejadian berusia 17 tahun disabitkan atas tuduhan menikam perut gadis sebayanya di antara pukul 12 tengah hari dan 1 petang, 11 September 2005 di sebuah rumah di Kampung Endah, Tanjung Sepat, Banting, Selangor.

Dia yang mengaku bersalah atas tuduhan pilihan diperintah oleh Mahkamah Kanak-Kanak Telok Datok ditahan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun sehingga mencapai usia 21 tahun.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menjalankan kuasa semakan menggantikan perintah itu dengan hukuman penjara empat tahun.

Pemuda terbabit diwakili oleh peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff manakala Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof mewakili pihak pendakwaan.

Fakta kes menyatakan, pada hari kejadian, pasangan itu melakukan hubungan seks sebelum bertengkar kerana perayu tidak berpuas hati berhubung bayi yang dikandung oleh kekasihnya.

Mangsa mengalami pendarahan yang banyak setelah sebilah pisau berukuran lapan inci tercucuk di perutnya sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Banting.

Sunday, April 17, 2011

Lelaki dikurung gagal bayar pinjaman RM3,000

Lelaki dikurung gagal bayar pinjaman RM3,000
KOTA KINABALU 17 April - Perbuatan melampau sebuah premis peminjam wang berlesen menagih hutang dengan mengurung seorang peminjam pada Selasa lalu, membawa padah apabila diserbu polis.

Mangsa, lelaki tempatan berusia 34 tahun dipercayai dikurung bermula pukul 1.11 petang di premis berkenaan di Sinsuran di sini, sebelum diselamatkan pukul 3.55 petang.

Dalam serbuan itu, polis memberkas dua lelaki yang menahan mangsa sebelum menangkap tiga lagi dalam operasi susulan pada 13 dan 14 April lalu dengan kesemua suspek berusia 26 hingga 34 tahun.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, siasatan mendapati mangsa gagal membayar balik pinjaman kepada syarikat itu sebanyak RM3,000.

"Mangsa yang dikurung di dalam sebuah bilik diselamatkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, hasil maklumat awam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua ditahan disiasat mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan kerana menahan mangsa dengan cara salah yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

"Perbuatan mereka menahan mangsa adalah salah di sisi undang-undang, kalau mereka mahu menagih hutang pun kenalah ikut proses yang sepatutnya dan berlandaskan undang-undang," tegasnya.

Beliau turut menasihatkan semua syarikat peminjam wang agar menjalankan perniagaan dengan cara yang betul dan tidak bertindak melampau.

Wanita mati dibunuh 3 penyamun

Wanita mati dibunuh 3 penyamun

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my



ANGGOTA polis mengangkat mayat Norjaniaty Mohamad Isa yang mati dibunuh sekumpulan penyamun di rumahnya di Kampung Keladi, Kulim, Kedah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KULIM 17 April - Seorang wanita yang pulang bercuti untuk menziarah ibunya maut dipukul tiga penyamun yang memecah masuk rumah banglo mereka di Kampung Keladi di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, ibu mangsa yang berusia 70 tahun turut cedera.

Mangsa, Norjaniaty Mohamad Isa, 40, dikatakan baru pulang dari Kuala Lumpur, petang semalam.

Ketika kejadian, dia tidur bersama ibunya, Fatimah Abu Bakar di dalam sebuah bilik manakala dua lagi ahli keluarga di bilik lain.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) negeri, Supritendan Law Thiang Huat berkata, polis yang mendapat panggilan mengenai kejadian itu bergegas ke rumah terbabit untuk menjalankan siasatan.

"Hasil pemeriksaan kita menemui mayat mangsa terlentang di atas katil dengan kecederaan di muka akibat dipukul dengan senjata tumpul," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Thiang Huat memberitahu, berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa, sekumpulan tiga lelaki telah memecah masuk rumah berkenaan melalui sebuah pintu jeriji di bahagian tepi.

"Norjaniaty dipercayai bergelut dengan kumpulan lelaki terbabit tetapi tidak terdaya melawan. Ibunya turut cedera akibat dipukul dan kini dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati beberapa barang kemas di dalam bilik berkenaan serta telefon bimbit dan sejumlah wang tunai, hilang.

"Polis percaya motif kejadian adalah samun," katanya sambil menambah mayat mangsa dihantar ke HK untuk dibedah siasat.

Thiang Huat meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-4906222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sunday, April 10, 2011

Bakar rumah selepas rompak

Bakar rumah selepas rompak
Oleh Ifwan Tun Tuah

2011/04/11


MUNISUARAN melihat keadaan rumahnya yang dipecah dan dibakar dalam kejadian di Taman Bukit Mas, di Seremban, awal pagi semalam. - Foto DZULKEFFLI MUSTAPHAKeluarga bercuti terkejut kediaman hangus

SEREMBAN: Sekumpulan penjenayah bertindak membakar rumah yang dipecah masuk sebelum melarikan pelbagai barangan berharga dianggarkan bernilai lebih RM30,000 di Taman Bukit Mas di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kumpulan terbabit dikatakan memotong pintu jeriji depan kediaman satu tingkat berkenaan ketika pemilik dan keluarganya bercuti di Pulau Pinang. Pemilik rumah terbabit, R Munisuaran, 29, berkata kumpulan itu menggeledah semua bilik di rumahnya dan melarikan barang kemas milik isteri dan ibunya selain dua komputer riba. “Mereka kemudian membakar rumah ini dan melarikan diri dengan memanjat pagar depan.

“Jiran hanya menyedari kejadian itu selepas anjing di kawasan ini menyalak dengan kuat sebelum melihat asap tebal keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, cubaan jiran untuk memadam kebakaran tidak berjaya kerana api marak dengan cepat, namun bomba berjaya mengawal api daripada merebak dan menghalangnya daripada memusnahkan keseluruhan rumah.

Sementara itu, isterinya, S Priya, 28, berkata mereka baru pulang daripada bercuti di Pulau Pinang dan mengambil keputusan untuk terus ke rumah ibu bapanya di Port Dickson ketika kejadian itu berlaku.
“Mujur kami terus ke Port Dickson kerana jika kami terus pulang ke rumah pasti akan terserempak dengan penjenayah itu dan tidak mustahil mereka mencederakan kami,” katanya

Ditikam, jerut sebelum dibakar dalam kereta

Ditikam, jerut sebelum dibakar dalam kereta


2011/04/11
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditikam dan dijerut sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam sebuah kereta serta dibakar hingga rentung di Happy Garden, Brickfields di sini, awal pagi semalam.

Mayat mangsa yang rentung 90 peratus itu ditemui di tempat duduk belakang kereta jenama Honda Civic kira-kira jam 3.30 pagi di Jalan Sepadu, Brickfields. Siasatan awal polis mendapati, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibawa ke Happy Garden dan dibakar bersama kereta itu. Bagaimanapun, sehingga lewat petang semalam polis belum mengenal pasti identiti mangsa atau pemilik kereta Honda Civic itu.

Difahamkan, seorang saksi yang berada berhampiran tempat kejadian melihat empat lelaki dengan keadaan mencurigakan dalam sebuah PERODUA Myvi berwarna putih di kawasan itu, sebelum kejadian berkenaan.

Saksi dikatakan ternampak seorang daripada suspek keluar dari PERODUA Myvi itu dan menyimbah sejenis cecair ke atas kereta Honda Civic yang diletakkan di tepi jalan berkenaan sebelum membakarnya.

Saksi itu yang mengesyaki sesuatu kemudian menghubungi polis dan bomba memaklumkan kejadian berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata pihaknya sedang berusaha mengenal pasti identiti mangsa kerana hampir seluruh tubuhnya terbakar.

“Kita sedang menyiasat sama ada mangsa adalah individu yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu di sebuah negeri jiran selain mengenal pasti pemilik kenderaan terbabit,” katanya.

Ku berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan identitinya hanya akan diketahui selepas laporan bedah siasat diperoleh.

Katanya, polis juga masih menyiasat motif kejadian dan sedang memburu empat lelaki yang disyaki terbabit dalam pembunuhan itu, selain percaya mereka masih berada sekitar ibu negara.