Wednesday, July 14, 2010

2 ahli kumpulan samseng maut ditetak

JOHOR BAHRU 14 Julai 2010 - Dua lelaki dipercayai anggota kumpulan samseng maut selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran makanan Cina di Jalan Hang Kasturi, Bandar Selesa Jaya di Nusajaya malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 8.45 malam ketika kedua-dua mangsa dikatakan sedang minum di restoran itu sebelum didatangi sekumpulan lelaki.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supritendan Aziz Ahmad berkata, kumpulan terdiri daripada tiga hingga empat lelaki itu tiba-tiba bertindak menyerang dan menetak mangsa dengan menggunakan parang.

"Salah seorang daripada mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan manakala rakannya meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi ini.

"Siasatan awal polis mendapati, kedua-dua mangsa menggunakan identiti palsu dan menganggotai satu kumpulan samseng manakala penyerang mereka datang dari kumpulan samseng berbeza," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Aziz berkata, pihaknya yang menerima maklumat kemudian menahan sembilan lelaki di Bandar Selesa Jaya di sini tidak lama selepas kejadian.

Polis, katanya, turut menemui dua bilah parang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut termasuk salah satu daripadanya milik suspek yang ditahan

Polis tembak mati suspek curi kereta

PULAU PINANG 14 Julai 2010 - Seorang lelaki dipercayai ahli sindiket curi kereta mewah jenis Toyota Alphard ditembak mati selepas cuba menembak anggota polis ketika ditahan di Lintang Bukit Jambul di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 6.10 pagi, suspek yang berusia 38 tahun dan bersenjatakan sepucuk pistol jenis .22, mati ditembak dua das di bahagian dada.

Dia sebelum itu tidak menghiraukan satu tembakan amaran yang dilepaskan polis selain cuba menembak anggota polis dengan mengeluarkan pistol.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kejadian bermula apabila sepasukan anggota polis terserempak dengan Toyota Alphard berwarna putih di Bukit Jambul.

Katanya, siasatan awal mendapati, kenderaan itu dilaporkan dicuri di Simpang Pulai, Perak manakala nombor pendaftaran yang digunakan didaftarkan di Selangor untuk kenderaan jenis sama tapi berwarna hitam

"Berikutan itu, dua buah kereta polis kemudian mengekori kenderaan berkenaan dari arah yang berbeza sebelum mengepung kereta suspek di tempat kejadian.

"Sebaik sahaja dikepung, suspek kemudian memecut kenderaannya, namun terbabas ke dalam sebuah parit sebelum dia cuba melarikan diri dan akhirnya ditembak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Kapal kargo dirompak lanun

KUCHING 14 Julai 2010 - Sekumpulan lanun bertindak nekad merompak sebuah kapal kargo, M.V Hornbill yang sedang dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor ke Bintulu, awal pagi semalam.

Rompakan itu berlaku di Pulau Marundung, kira-kira 70 kilometer (40 batu nautika) dari sempadan Tanjung Datu dekat Lundu, kira-kira pukul 1 pagi.

Ketika kejadian, terdapat seramai 19 krew kapal warga Indonesia, Myanmar dan India sedang tidur dalam kapal berkenaan.

Kumpulan lanun itu yang terdiri daripada lapan lelaki menggunakan bot laju dan menaiki kapal kargo membawa pelbagai muatan yang ketika itu berada di perairan Indonesia.

Ketua Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Sarawak, Asisten Komisioner Taib Sabot berkata, kapal kargo itu didaftarkan di bandar raya ini dan sepatutnya singgah di Kuching.

Bagaimanapun, menurutnya, sebelum sempat tiba di sini, kapal itu diserang kumpulan lanun berkenaan.

Ketika kejadian, katanya, lanun itu bertindak mengikat kesemua krew kapal dan kapten kapal itu yang merupakan seorang warga Indonesia.

"Lanun itu kemudian merampas wang yang digunakan untuk membeli barangan keperluan berjumlah RM4,500, tiga unit telefon bimbit, dua buah teropong dan pelbagai barangan lain.

"Sejurus kemudian, kumpulan lanun berkenaan bertindak meninggalkan kapal tanpa mengapa-apakan kesemua krew berkenaan," katanya di sini hari ini.

Taib memberitahu, kapten kapal itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Gita petang semalam sebelum bertolak ke Bintulu untuk meneruskan perjalanan mereka hari ini.

Tambah beliau, PGM telah memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa Indonesia dan akan meningkatkan rondaan di kawasan perairan Malaysia sebagai langkah keselamatan

4 perompak mati ditembak polis

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my



T. Narenasegaran menunjukkan sebahagian daripada barangan samun yang ditemui semula dalam kereta yang digunakan oleh empat penyamun yang ditembak mati oleh polis Temerloh, Pahang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



TEMERLOH 14 Julai - Tindakan penjenayah yang semakin berani melakukan kegiatan pecah rumah dan samun, mengundang padah apabila polis kini meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi berhampiran Kawasan Perindustrian Songsang, di sini awal pagi ini, empat penjenayah warga asing yang memecah masuk rumah seorang penduduk di Bangau Tanjong, ditembak mati kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa.

Penjenayah yang berusia antara 30 hingga 40 tahun itu dipercayai terlibat dalam 20 kes pecah rumah dan samun di beberapa buah daerah di Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, sebaik sahaja menerima laporan daripada mangsa setengah jam selepas disamun, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh terus menjalankan operasi memburu perompak berkenaan.

Katanya, polis yang mengadakan operasi memburu penjenayah tersebut terserempak dengan kereta jenis Honda Civic dalam keadaan mencurigakan, kira-kira lima kilometer dari lokasi rumah mangsa.

"Polis kemudian memberi arahan kepada pemandu kereta itu supaya memberhentikan kenderaan, namun tidak diendahkan, sebaliknya ia terus memecut laju.

"Pasukan polis yang mengejar kereta tersebut berjaya memintasnya berhampiran sebuah kilang papan di Kawasan Perindustrian Songsang," katanya pada sidang akhbar di IPD Temerloh di sini hari ini.

Menurutnya, anggota polis kemudian mendapati empat lelaki berada dalam kenderaan tersebut. Tiba-tiba, kesemua mereka keluar dari kenderaan dan cuba menyerang polis dengan mengunakan parang.

Berikutan itu, katanya, polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri sehingga menyebabkan keempat-empat suspek mati di tempat kejadian.

Beliau menambah, tiada pengenalan diri ditemui pada mayat kesemua suspek, namun polis menemui tiga unit komputer riba, 10 telefon bimbit, barang kemas seperti cincin dan gelang, tujuh utas jam tangan dan dua kamera digital dipercayai dicuri.

"Polis turut menemui senjata dan peralatan yang digunakan untuk memecah rumah antaranya empat bilah parang, pemutar skru, tiga pemotong besi, empat topeng muka dan sebilah keris.

"Kereta yang dinaiki empat suspek disahkan dicuri di Klang, Selangor pada 23 April 2008, milik seorang wanita yang beralamat di Kedah," katanya.

Ini merupakan kejayaan ketiga polis dalam tempoh tidak sampai sebulan menembak mati penjenayah yang terlibat dalam jenayah pecah rumah.

Pada 5 Julai lalu, empat daripada lima penjenayah 'Geng Tong Gas' mati ditembak selepas memecah masuk rumah Pengerusi Jawatankuasa belia dan Sukan negeri Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat di Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

Lima hari kemudian, tiga penjenayah 'Geng 66' mati ditembak ketika cuba memecah masuk rumah seorang peniaga di Kampung Tenai, Air Gelugor, Gemencheh.

Menurut Narenasegaran, mayat suspek dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh penjawat awam.

Beliau berkata, dengan tumpasnya kumpulan ini, polis percaya dapat menyelesaikan 20 kes samun dan pecah rumah yang berlaku dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Antara lokasi sasaran penjenayah ini sekitar Temerloh, Maran, Bentong, Jerantut, Bera dan pekan Raub.

Friday, July 9, 2010

Tujuh askar dipenjara tujuh tahun

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 9 Julai 2010 - Gara-gara tidak pandai melipat baju, seorang prebet yang ditahan atas kesalahan tidak hadir bertugas, telah dipukul, ditumbuk, diterajang, dipijak sehingga terkencing dan dilastik kemaluannya sehingga cedera sebelum meninggal dunia keesokan harinya.

Perbuatan kejam itu dilakukan terhadap Mohd. Shahrizal Mohd. Shaffie, 27, oleh tujuh prebet Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) lain yang turut ditahan dalam sel yang sama antara pukul 11 malam, 5 April dan 1 petang, 6 April 2008 di Bilik Tahanan Pasukan, Unit 1 RAMD, Kem Tentera Sungai Besi, Cheras di sini.

Mereka ialah Mahazir Hamad, Mohd. Azman Jabril dan Mazlan Awang Ngah masing-masing berusia 26 tahun serta Mohd. Bukhari Shawal, 25, bersama Shahrin Mat Rabu, Mohd. Khairi Abdullah @ Mohd. Khalrie Abdullah dan Syabramallisi Shahidan, kesemua berumur 28 tahun.

Hari ini tujuh prebet terbabit menerima balasan yang setimpal dengan kesalahan itu apabila mereka dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian rakan mereka.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak ketika menjatuhkan hukuman menegaskan bahawa mahkamah tidak dapat menerima sebarang alasan yang diberikan kerana mendera telah menyebabkan nyawa seorang pemuda tidak berdosa melayang.

Beliau memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu seminggu selepas kematian mangsa.

Kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret pada 22 April 2008 selepas ditahan reman atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd. Salleh mengemukakan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Fakta kes menyebut, para tertuduh dan mangsa telah mengadakan upacara yang dinamakan 'penyerahan tugas ketua chief khadam' dan selepas ia selesai, mangsa diminta melakukan senaman sebelum dipukul, ditumbuk dan diterajang pada pukul 11 malam, 5 April 2008 dan penderaan berlarutan.

Kemaluan mangsa turut dilastik menggunakan getah sementara salah seorang daripada tertuduh yang memakai kasut but telah memijak bahagian belakang mangsa sehingga terkencing.

Perbuatan itu hanya dihentikan setelah ditegur oleh seorang pengawal dan mangsa telah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebelum disahkan meninggal dunia.

Hakim Mohd Sofian sebelum menjatuhkan hukuman berkata, RAMD mempunyai sejarah yang gemilang dan merupakan rejimen pertama sebelum Perang Dunia Kedua dan mereka sepatutnya merasa bangga.

Suami hakim didenda RM2,000

2010/07/10
BUTTERWORTH: Suami kepada bekas Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam selepas mengaku bersalah mencederakan seorang hakim mahkamah sama, April lalu.

Majistret Badrul Munir Mohd Hamdy yang mendengar prosiding semalam, berkata jika tertuduh Jamaluddin Ahmad, 36, gagal membayar denda, dia berdepan hukuman penjara dua minggu. Jamaluddin yang juga ahli perniagaan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Amernudin Ahmad, 52, di lobi kompleks Mahkamah Butterworth pada jam 5.20 petang, 22 April lalu, mengaku melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohammad Jaafar, manakala tertuduh diwakili peguam, Rafidi Mohamad.

Akhbar sebelum ini melaporkan Amernudin yang juga Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, pengsan selepas ditumbuk di muka oleh Jamaludin. Difahamkan, kejadian berpunca apabila Amernudin meminta jurubahasa bekas Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Ainul Shahrin Mohamad, membantunya dalam satu kes tetapi jurubahasa itu tidak berbuat demikian dengan alasan mempunyai tugas lain di mahkamah yang dikendalikan Ainul Shahrin.

Ainul Shahrin dipercayai mengadu perkara itu kepada tertuduh sehingga timbul rasa tidak puas hati yang membawa kepada kejadian terbabit. Berikutan kejadian itu, Ainul Shahrin ditukarkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kedai emas rugi RM700,000

Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/07/10
Perompak lepas tembakan, ambil 3 minit larikan barang kemas

IPOH: Sekumpulan enam perompak bersenjatakan sepucuk pistol dan beberapa tukul besi memecah masuk sebuah kedai emas di Taman Pertama, dekat sini sebelum melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM700,000 dalam rompakan nekad tiga minit, pagi semalam. Pada insiden jam 9.50 pagi itu, perompak melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum melarikan diri. Dalam kejadian itu, perompak yang menaiki dua kereta meluru ke kedai emas terbabit sebelum seorang daripada mereka yang bertopeng, mengacukan senjata ke arah pengawal keselamatan.

Ketika itu, pengawal keselamatan terbabit bersama tiga pekerja sibuk membuka pintu kedai untuk memulakan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata perompak bersenjatakan pistol merampas senapang laras jenis Steven milik pengawal keselamatan berusia 65 tahun itu sambil mengugut mangsa dan tiga pekerja lain supaya jangan bising.

“Pada masa sama, tiga rakan perompak yang membawa tukul besi memecahkan cermin pameran untuk mengambil barangan kemas sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira.
“Perompak hanya mengambil masa tiga minit untuk melakukan jenayah itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Azisman berkata, polis kini mengumpul maklumat saksi iaitu pengawal keselamatan dan pekerja kedai emas terbabit untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, pengawal keselamatan terbabit, Fauzi Kongsor, 65, berkata beliau terpaksa menyerahkan senapang kerana perompak mengacukan pistol ke arahnya dan bimbang dicederakan jika tidak menurut kehendak itu.

“Oleh kerana terlalu takut dengan tindakan mereka (perompak), saya dan tiga pekerja lain hanya mengikut arahan mereka dan berdiam diri.

“Ketika melarikan diri, perompak melepaskan satu das tembakan ke udara,” katanya.

Fauzi berkata, ia adalah kejadian rompakan pertama yang berlaku di kedai emas itu sejak beliau mula bertugas tiga tahun lalu.